Anwar hantar usul Petronas jual aset di AzerbaijanAnwar hantar usul Petronas jual aset di Azerbaijan
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Anwar hantar usul Petronas jual aset di Azerbaijan


26 Okt 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengemukakan usul supaya isu penjualan aset gas Petronas di Azerbaijan dengan harga hampir RM10 bilion, dibahaskan di Dewan Rakyat.


Menurut Ahli Parlimen Port Dickson itu, usul tersebut dikemukakan di bawah Peraturan Mesyuarat 18 (1) dan 18 (2) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.


“Saya telah mengemukakan suatu usul kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat di bawah Peraturan Mesyuarat 18 (1) dan 18 (2) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat seperti berikut:


"Bahawa Dewan yang bersidang pada hari ini merundingkan laporan bahawa Petronas telah menjual aset gas di Azerbaijan dengan harga hampir RM10 bilion berikutan desakan kerajaan menaikkan bayaran dividen Petronas sebanyak RM25 bilion kepada kerajaan bagi tahun 2021,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan dalam akaun Twitternya kelmarin.


Anwar berkata penjualan aset gas di Azerbaijan dan juga pembayaran dividen kepada kerajaan itu adalah merbahaya dan boleh menjejaskan masa depan Petronas.


Perkara tersebut perlu dibahas dengan segera kerana Petronas mengalami defisit berikutan pembayaran dividen berlebihan sejak 2018 sehingga kini yang memaksa Petronas menjual aset atau meminjam lebih banyak dana luar negara bagi menampung aliran tunai, jelasnya.


“Ini adalah perkara mendesak dan perlu diberikan perhatian serta dibahaskan secara terperinci dan menyeluruh di Dewan Rakyat.


“Saya berharap usul ini mendapat pertimbangan sewajarnya dari Yang di-Pertua Dewan Rakyat,” katanya.


Terdahulu, Theedgemarkates melaporkan bahawa Petronas menjual 15.5 peratus kepentingannya dalam projek gas asli Shah Deniz di sector Azerbajian di Laut Kaspia kepada syarikat minyak dan gas Rusia LUKOIL dengan harga RM 9.41 billion (USD 2.25 billion).


Bagaimanapun LUKOIL dalam satu kenyataan berkata transaksi tersebut adalah tertakuk kepada penentuan syarat-syarat sebelumnya, termasuk kelulusan dari Syarikat Minyak Negara Azerbaijan (SOCAR).


Ekuiti LUKOIL dalam projek tersebut dikatakan akan meningkat daripada 10 peratus kepada 25.5 peratus setelah selesai penjualan.

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page