top of page
  • Wartawan Nabalu News

Anwar hargai usaha PH Sabah perjuangkan tuntutan hak-hak Sabah


5 Okt 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menghargai usaha pemimpin Pakatan Harapan (PH) Sabah memperjuangkan tuntutan hak-hak Sabah yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).


Beliau berkata, Kerajaan Perpaduan sedaya upaya akan melaksanakan janji yang dimeterai dalam MA63 dan mempertingkatkan hubungan kerjasama dengan kerajan negeri Sabah khususnya dalam pelaksanaan MA63.


Katanya lagi, sejak mengambil alih kerajaan pada akhir tahun lalu, kerajaan persekutuan sedaya upaya melaksanakan apa sahaja yang termaktub dalam perjanjian berkenaan. Perjanjian yang dimeterai pemimpin Sabah, Sarawak dan Semenanjung ketika penubuhan Malaysia pada 1963 itu harus dilaksanakan oleh pemimpin selepas mereka.


“Perjanjian yang dilaksanakan oleh bapa-bapa terdahulu itu adalah hasil pemeteraian dari muafakat Sabah, Sarawak dan Semenanjung.


“Jadi tugas saya, generasi kami adalah untuk melaksanakan perjanjian berkenaan. Saya bagi jaminan hubungan kerjasama erat dengan sahabat saya saudara Datuk Seri Hajiji (Ketua Menteri Sabah), kita akan tingkatkan usaha serta mendengar apa-apa hal yang perlu dilaksanakan,” katanya.


Beliau berkata demikian pada majlis penangguhan Konvensyen Pengurusan Hal Ehwal Islam sempena Ijtimak Perdana Agensi Agama Seluruh Malaysia (IJPAM) 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, semalam.


Anwar turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada pemimpin PH Sabah yang baru-baru ini menarik balik saman pemula terhadap kerajaan berhubung tuntutan 40 peratus hasil Sabah berikutan keyakinan terhadap kerajaan melaksanakan MA63.


“Baru-baru ini ada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), sebahagian dari PH mencabar kerajaan dalam isu pelaksanaan MA63. Saya ucap terima kasih kerana mereka menarik balik saman terhadap Kerajaan Persekutuan.


“Sejak kita ambil alih kerajaan dan Ketua Menteri Hajiji sedia maklum, saya telah mengarahkan sedaya upaya kita untuk melaksanakan apa yang kita janjikan menerusi MA63,” katanya.


Baru-baru ini, pemimpin PH Sabah dikritik atas keputusan menarik balik saman pemula yang difailkan terhadap Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah berhubung isu tuntutan 40 peratus hasil Sabah yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada 3 Jun 2022.


PH Sabah mempertahankan tindakan mereka kerana Perdana Menteri dan Kabinet Kerajaan Persekutuan berjaya meyakinkan mereka bahawa tuntutan itu akan dilaksanakan.

Comentarios


bottom of page