Anwar Ibrahim bertemu Xi Jinping di Beijing
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Anwar Ibrahim bertemu Xi Jinping di Beijing


2 April 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden China Xi Jinping di Great Hall of the People, di sini pada Sabtu.


Kunjungan itu merupakan sebahagian daripada lawatan rasmi empat hari Anwar ke China yang bermula pada Khamis lalu.


Dalam pertemuan itu, kedua-dua pemimpin membincangkan pelbagai isu berkaitan hubungan dua hala, kerjasama ekonomi dan perdagangan, serta situasi semasa di Myanmar.


Xi menyatakan harapan China agar Malaysia mempunyai dasar yang dapat menyokong pelaburan China ke negara ini, terutamanya dalam bidang baharu seperti tenaga diperbaharu, semikonduktor dan ekonomi digital.


Beliau juga menekankan paradigma baharu pembangunan China yang menumpukan kepada pembukaan dan kerjasama berkualiti.


Anwar pula mengesahkan kekukuhan hubungan ekonomi antara Malaysia dan China yang menyaksikan angka dagangan yang semakin berkembang dengan projek utama di bawah inisiatif Jalur dan Laluan (BRI).


Beliau mengalu-alukan lebih banyak pelaburan dan kerjasama dari China dalam sektor baharu muncul termasuk ekonomi digital, pemodenan pertanian dan perdagangan pertanian dan tenaga boleh baharu.


Anwar juga menyambut baik penubuhan kampus cawangan pertama Universiti Tsinghua Beijing di Malaysia dan berharap dapat menjalin kerjasama konkrit dalam bidang TVET dan meningkatkan bilangan pelajar dari China di Malaysia.


Mengenai isu Myanmar, kedua-dua pemimpin berkongsi kebimbangan mengenai situasi yang sedang berlaku di negara itu.


Xi berkata China menyokong usaha yang diterajui ASEAN untuk menangani situasi di Myanmar termasuk usaha untuk membantu merungkai masalah Rohingya di Myanmar dan Bangladesh.


Anwar dan Xi juga sepakat untuk membina asas yang kukuh dengan memanfaatkan ulang tahun ke-10 jalinan Perkongsian Strategik Komprehensif tahun ini dan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik pada tahun depan.


Pertemuan diakhiri dengan Anwar menyampaikan jemputan kepada Xi untuk mengadakan lawatan negara ke Malaysia.

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page