- Wartawan Nabalu News
Anwar: Kerajaan cari mekanisma tingkatkan gaji pekerja sektor swasta

10 Ogos 2023
Oleh Wartawan Nabalu News
KUALA TERENGGANU: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan sedang berusaha mencari mekanisma bagi penyelarasan kenaikan gaji bagi pekerja sektor swasta sebagai usaha untuk meningkatkan taraf hidup rakyat.
Beliau berkata, kerajaan akan memikirkan kaedah dan pelaksanaan kenaikan gaji tersebut yang tidak banyak dilakukan oleh negara-negara lain.
"Kita (pemimpin) mesti peka dan prihatin tentang masalah rakyat dan isu penyelarasan gaji untuk perkhidmatan awam yang sedang diusahakan belum dibuat di dalam sektor swasta.
“Pekerja kilang, apa nasib mereka? Kilang untung berbilion tetapi gaji masih rendah. Jadi, kita mencari kaedah dan mekanisme baru untuk memastikan gaji pekerja ditingkatkan," beliau berkata demikian dalam ucapannya pada Majlis Perjumpaan Bersama Usahawan Tekun di Dewan Konvensyen Taman Tamadun Islam, di sini, pada Rabu.
Turut hadir pada majlis itu Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick.
Tambah beliau, keputusan bagi kadar gaji dan upah baharu bagi sektor awam akan diumumkan sama ada dalam Belanjawan MADANI 2024 atau pada awal tahun hadapan.
Selain itu, beliau juga menekankan pentingnya mengembangkan ekonomi MADANI yang berkait dengan isu menokhtahkan kemiskinan.
"Program perlu dibuat supaya kelompok ini tidak dipinggirkan. Ini memerlukan komitmen politik yang jelas," katanya.
Anwar juga mengkritik pembangkang yang bersuara pelbagai isu tetapi tidak melakukan banyak perkara sewaktu berkuasa.
"Antaranya mereka tidak menambah peruntukan kepada Tekun, tak selesaikan masalah subsidi padi. Kita lapan bulan ini diserang begitu rupa," katanya.
Anwar berkata Kerajaan Perpaduan telah memperkenalkan inisiatif pengeluaran padi lima musim dua tahun dan mengumumkan kenaikan kadar Skim Subsidi Harga Padi (SSHP) daripada RM360 per tan metrik kepada RM500 satu tan metrik.