Anwar kongsi memori didikan ibu bapa galak membaca
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Anwar kongsi memori didikan ibu bapa galak membaca


19 Mac 2023

Oleh Wartawan Nabalu News

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam program dialog bersama belia di Kuala Lumpur pada Ahad, menceritakan kisah didikan ibu bapa beliau yang mempengaruhi perwatakan beliau dan minat membaca yang sangat menebal sejak dahulu lagi.


Anwar menjawab soalan peserta wanita dari Indonesia pada program dialog anak muda ‘Temu Anwar,’ yang turut menzahirkan kekagumannya terhadap Perdana Menteri berusia 75 tahun itu yang disifatkan sebagai seorang pejuang sejati dan memiliki ketokohan tersendiri, mengenai kaedah didikan diguna pakai oleh ibu ayah Anwar.


"Ibu bapa saya sangat mendorong untuk membaca. Ayah saya lebih kepada Bahasa Inggeris. Ibu saya lebih kepada Bahasa Melayu. Mereka juga sering beri galakan saya bergiat aktif dalam kegiatan sosial dan masyarakat.


“Walaupun kami kelas menengah, ibu bapa saya memang orang kuat UMNO dan (bapa) pernah jadi ahli Parlimen tetapi sentiasa bawa saya ke kawasan-kawasan orang miskin. Jadi keprihatinan kita kukuh dari awal. Alhamdulillah, latihan agama juga kuat,” katanya.


Anwar berkata, ketika melanjutkan pelajaran ke Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK), beliau turut mendapat latihan disiplin yang teguh daripada guru-gurunya yang disifatkan sebagai luar biasa.


"Sebab itu bila orang berbicara soal kaum, walaupun saya kuat Melayunya, saya perjuangkan bahasa, bangga dengan budaya tapi saya tiada sentimen benci bangsa lain.


Perdana Menteri berkata, azam dan cita-cita untuk menjadikan Malaysia hebat dan ‘manusiawi’ tetap diteruskan walapun berada di balik tirai besi sehingga mendorong beliau untuk tekun beramal, cuba menghafal al-Quran dan membaca sebanyak mungkin buku yang diperoleh.


“Saya diminta jadi fellow di Universiti Oxford dan kemudian Profesor di Universiti Georgetown kerana banyak baca. Tapi bagaimana mampu kuat ini, sukar dijawab. Yang penting doa kepada Allah SWT supaya kuat,” katanya.


Program dialog anjuran Anwar Ibrahim Club (AIC) tersebut dikendalikan oleh selebriti Amelia Henderson dan dihadiri lebih 5,000 anak muda yang berpeluang bertanyakan pelbagai soalan kepada pemimpin nombor satu negara itu.


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page