Anwar lancar buku tentang Malaysia karya sarjana terkenal China
- nabalunews
- 7 hours ago
- 1 min read

2 September 2025
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini melancarkan buku karya sarjana, ahli perniagaan dan pakar ekonomi terkenal China, Dr Yan Lijin ketika menghadiri pertemuan perniagaan bersama pelabur dan pemimpin perniagaan di Beijing, China.
Buku bertajuk Truly Asia: Malaysia – A Country You Won’t Want To Abandon menzahirkan penghargaan ikhlas Lijin terhadap Malaysia.
Anwar berkata, buku berkenaan berjaya menggambarkan kepelbagaian wajah Malaysia yang kaya budaya, tradisi dan kemodenan, selain keindahan alam semula jadi yang memukau.
“Ia bernilai bukan sahaja untuk pelaburan, pendidikan dan eksplorasi budaya, tetapi juga untuk mengenali pesona Malaysia secara menyeluruh.
“Saya menghargai keikhlasan Dr Yan yang berusaha memperkukuh hubungan antara rakyat Malaysia dan China melalui buku ini, sebagaimana utuhnya persahabatan yang telah lama terjalin antara kedua-dua negara,” katanya menerusi hantaran di media sosial rasminya hari ini.
Perdana Menteri berada di China sejak Ahad lalu bagi mengetuai delegasi Malaysia dalam rangka lawatan kerja empat hari ke negara itu atas undangan Presiden Xi Jinping.
Comments