- Wartawan Nabalu News
Anwar mahu isu bekalan dan harga beras diselesaikan segera
24 Februari 2024
Oleh Wartawan Nabalu News
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa agar isu bekalan dan harga beras yang masih membelenggu rakyat diselesaikan segera dengan melaksanakan Beras Putih Malaysia MADANI yang akan memastikan ketersediaan beras tempatan pada harga yang munasabah.
Beliau berkata, Kerajaan perlu terus memberi tumpuan penuh terhadap isu kos sara hidup meskipun kadar inflasi semakin mereda kepada 1.5% setakat Januari 2024.
Ujar beliau, Kerajaan perlu campur tangan secara kritikal bagi mengatasi isu bekalan Beras Putih Tempatan (BPT) yang terhad dan kenaikan harga Beras Putih Import (BPI) di pasaran global berikutan larangan eksport yang dikenakan oleh negara pengeluar beras.
"Kendatipun bekalan dan harga Beras Putih Tempatan (BPT) dalam pasaran domestik secara umumnya terkawal, saya masih menerima aduan berhubung isu bekalan BPT yang terhad. Rakyat juga terkesan dengan kenaikan harga BPI di pasaran global.
“Saya tegaskan betapa campur tangan Kerajaan MADANI pada ketika ini amat kritikal dan perlu diputuskan segera bagi memastikan isu bekalan dan harga makanan ruji utama rakyat ini terus kekal stabil di pasaran," katanya dalam satu kenyataan media selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) Tahun 2024 pada Jumaat.
Beliau berkata, mesyuarat tersebut turut mendengar penjelasan terperinci terkait cadangan pelaksanaan Beras Putih Malaysia MADANI.
Jelas Anwar, selepas mendengar dan mengambil kira semua pandangan, mesyuarat mengambil ketetapan agar Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) mengetuai dan menyelaras sesi libat urus secara lebih terperinci sesegera mungkin.
Libat urus ini perlu mengambil kira harga belian padi, faktor bekalan, harga beras import dunia, kemampanan bekalan beras tempatan serta kesan kepada pengguna.
“Saya turut mengarahkan supaya hasil libat urus ini dibentang dan dimuktamadkan dalam Mesyuarat NACCOL pada 20 Mac 2024 sebelum diangkat untuk pertimbangan Jemaah Menteri,” katanya.
“Dalam tempoh itu, saya mengarahkan agar program jualan murah termasuk Jualan Rahmah, Jualan Agro Madani dan lain-lain diperbanyakkan supaya rakyat dapat membeli barangan keperluan harian, termasuk beras pada harga lebih rendah berbanding pasaran.
“Pada masa sama, Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) juga bersetuju untuk mempertimbangkan semula penawaran harga BPI dalam pasaran domestik supaya BPI boleh dijual pada harga lebih rendah, sekali gus mewujudkan alternatif kepada rakyat untuk mendapatkan beras dengan harga yang lebih berpatutan,” katanya.
Comments