Anwar mahu skop tugasan JAN diperluaskan, pantau penyalahgunaan kuasa
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Anwar mahu skop tugasan JAN diperluaskan, pantau penyalahgunaan kuasa


2 Sept 2023

By Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata kerajaan sedang meneliti untuk memperluaskan bidang tugas Jabatan Audit Negara (JAN) supaya ia dapat berfungsi sebagai ombudsman, iaitu institusi yang memerhati dan meninjau penyalahgunaan kuasa.


Beliau berkata, perkara itu masih dalam perbincangan, tetapi beliau yakin bahawa JAN mempunyai prestasi yang memuaskan dan dapat memberi teguran yang berkesan kepada semua jabatan kerajaan.


"Berdasarkan prestasi Jabatan Audit Negara yang memuaskan dan teguran-teguran yang patut diberi perhatian oleh semua Jabatan Persekutuan dan negeri, saya sekarang sedang meneliti supaya dapat diperkukuh, diperluaskan bidang tugas Jabatan Audit Negara supaya tidak boleh merangkul apa yang disebut Institusi Hisbah (institusi yang memerhati dan meninjau).


"Jadi ini masih dalam perbincangan tapi yang penting kita perluaskan bidang tugas Jabatan Audit Negara," katanya ketika ditemui media selepas mengadakan perjumpaan bersama warga Jabatan Audit Negara di Putrajaya pada Jumaat.


Anwar juga menegaskan bahawa Laporan Audit Negara bagi tahun ini akan dibahaskan di Parlimen, dan kerajaan akan mengambil tindakan terhadap sebarang kelemahan, pelanggaran atau penyalahgunaan kuasa yang dikesan oleh JAN.


“Saya menekankan peri pentingnya hasil Laporan Ketua Audit Negara diberi perhatian serius. Pembentangan dan perbahasan Laporan ini di Parlimen diharap dapat memperbaiki kelemahan, memperbetul disertai dengan tindakan yang wajar dan tuntas.


“Kerajaan Perpaduan akan terus memberi dokongan agar peranan dan bidang tugas Jabatan Audit Negara diperkukuh dan dipertingkat sesuai dengan konteks kini dan juga ketersediaan masa hadapan,” katanya.

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page