Anwar: Malaysia bersedia bincang isu Laut China Selatan dengan China
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Anwar: Malaysia bersedia bincang isu Laut China Selatan dengan China


3 April 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Malaysia bersedia untuk berbincang dengan China mengenai isu pertikaian di Laut China Selatan yang melibatkan tuntutan kedua-dua negara.


Beliau berkata perkara ini dibangkitkan semasa pertemuan empat mata dengan Presiden China Xi Jinping di Beijing baru-baru ini.


Anwar berkata Malaysia memerlukan sumber minyak dan gas yang terdapat di kawasan itu kerana syarikat minyak dan gas negara, Petronas, mempunyai pelantar terbesar bagi projek cari gali di situ.


“Kita terpaksa teruskan projek itu tetapi kalau syaratnya harus ada rundingan, maka kita sedia berunding,” katanya pada Majlis Perhimpunan Bulanan Perdana Menteri Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri di sini hari ini.


Anwar juga menyentuh isu Myanmar dan pelarian Rohingya yang menjejaskan Malaysia sebagai negara jiran.


Beliau berkata China rapat dengan Myanmar tetapi mengamalkan dasar tidak campur tangan dalam urusan dalaman negara itu.


“Saya katakan kita pun tidak bermaksud campur tangan tetapi ada hampir 200,000 pelarian Rohingya di sini. Jadi sama ada kita suka atau tidak, apa yang berlaku di Myanmar itu beri kesan kepada kita,” katanya.


Anwar menambah bahawa Myanmar juga tidak mahu menerima hampir 200,000 pelarian Rohingya itu kembali ke negara asal mereka.


Beliau berharap China dapat membantu menyelesaikan isu ini secara damai dan adil.


Anwar melakukan lawatan rasmi ke China selama empat hari bermula 29 Mac lalu.


Ini merupakan lawatan pertamanya ke negara itu selepas menjadi Perdana Menteri pada November tahun lalu.


Beliau menyifatkan lawatan itu sebagai berjaya dan membawa hubungan dua hala Malaysia-China ke tahap yang lebih tinggi.

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page