Anwar: Pembangkang tiada kekuatan, hanya propaganda
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Anwar: Pembangkang tiada kekuatan, hanya propaganda


12 Januari 2024

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan dakwaan pembangkang bahawa Kerajaan Perpaduan sudah tumbang dan mendakwa mereka tidak mempunyai kekuatan untuk membawa usul undi tidak percaya terhadap beliau di Parlimen.


Beliau berkata, kerajaan pernah mencabar pembangkang untuk membawa usul tersebut namun sudah lebih setahun, masih juga tidak dibangkitkan mereka.


“Sudah lama dah, dia (pembangkang) tidak bawa (tidak percaya di Parlimen), setahun dah. Hari-hari kita tunggu, tiada. Jadi kita tidak fikir bab itu.


“Saya tidak fikir dia (pembangkang) ada kekuatan untuk bawa ini (usul) selain daripada propaganda untuk menipu penyokong-penyokong dia supaya jangan hilang semangat.


“Saya berbeza pendapat. Tidak mahu hilang semangat, kalau tak boleh cuba bawa perubahan, dia bekerja untuk rakyat. Rakyat yang akan pilih akhirnya,” katanya, lapor Astro Awani.


Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri Sesi Lawatan dan Ramah Mesra Bersama Warga Kerja Pelabuhan Tanjung Pelepas di Gelang Patah, di sini pada Khamis.


Anwar juga menegaskan bahawa Langkah Dubai yang digembar-gemburkan oleh pembangkang adalah politik 'cemas' yang digunakan oleh pihak yang sudah kehilangan modal.


“Sekarang dah terbukti bahawa itu hanya politik cemas dalam kalangan yang agak kehilangan modal.


“Saya nasihat jemaah menteri dan pimpinan dan kerajaan umumnya, tumpu untuk bangunkan negara.


“Tahun 2024, fokus kita adalah pembangunan dan keutuhan ekonomi negara,” ujarnya.




photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page