top of page

Anwar: Rakyat di bandar dan pedalaman harus nikmati rangkaian 5G

nabalunews

28 Sept 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa kerajaan mahu setiap rakyat di negara ini termasuk di bandar dan kawasan pedalaman mendapat akses dan peluang yang sama untuk menikmati pembangunan yang mampan termasuk rangkaian 5G.


Beliau berkata, usaha mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) perlu dilaksana secara holistik dan tidak semata-mata melibatkan transformasi teknologi.


"Kemampanan teknologi juga tidak harus hanya dimanfaatkan oleh segelintir kumpulan elit bandar atau pemerintah sahaja," katanya ketika berucap pada Majlis Penutupan Sidang Kemuncak Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) Malaysia anjuran Huawei Technologies (M) Sdn Bhd, di sini pada Rabu.


Beliau menambah, rangkaian 5G bukan hanya tentang teknologi, tetapi juga tentang memastikan setiap warganegara dari golongan miskin bandar hingga ke kawasan paling terpencil di Sabah atau Sarawak harus diberikan peluang, akses, dan ketersambungan (internet).


"Jika tidak, menurut pandangan saya, ia tidak akan mampan. Kelestarian bukan untuk manfaat segelintir golongan elit bandar atau kelompok pemerintah.


"Kelestarian bermaksud menghargai warganegara. Itu sebabnya kami (Kerajaan Perpaduan) tidak mengamalkan pandangan yang mempertikaikan kaum di negara ini," katanya.


Anwar juga berkata Kerajaan Perpaduan melalui falsafah Madani memberi jaminan bahawa definisi kemampanan adalah untuk menghargai rakyat.


Beliau berkata, Malaysia memiliki potensi dalam sektor digital dan teknologi tetapi perlu menjalin kerjasama dengan pelbagai industri dalam meningkatkan tahap kepakaran.


Dalam masa sama, Anwar berkata beliau percaya Malaysia telah mendapat manfaat dari segi kemajuan teknologi hasil hubungan diplomatik antara Timur dan Barat.


"Kami telah membuat keputusan bertahun-tahun yang lalu oleh pentadbiran lepas untuk hanya melaksanakan (model) satu rangkaian.


"Tetapi saya fikir selepas perbincangan yang meluas dan perdebatan, (Malaysia perlu) meneroka secara mendalam kepada inovasi, teknologi dan kita buat keputusan untuk membenarkan (model) dwirangkaian," ujarnya.


Sidang kemuncak dua hari yang bermula semalam bertujuan menggalakkan pembangunan inovasi dan prasarana ICT, selain mendorong lebih banyak peluang pertumbuhan ekonomi digital mampan serta peningkatan perindustrian Malaysia.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page