Anwar sah dilantik PM Ke-10, angkat sumpah jam 5 petang hari ini
top of page
  • Farah Salim

Anwar sah dilantik PM ke-10, angkat sumpah jam 5 petang hari ini


24 November 2022

Oleh Farah Salim


KUALA LUMPUR: Setelah menunggu beberapa hari, kemelut politik hari ini berakhir setelah Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim sah dilantik sebagai Perdana Menteri Ke-10.


Menerusi kenyataan media Istana Negara hari ini, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melantik Anwar selepas perbincangan khas dan memperhalusi titah Raja-Raja Melayu di Istana Negara, sebentar tadi.


"Setelah memperhalusi titah pandangan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu, Seri Paduka Baginda telah memberi perkenan untuk melantik Yang Berhormat Dato' Seri Anwar bin Ibrahim (Ahli Parlimen P.063, Tambun) sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10.


"Ini selaras dengan kuasa Baginda yang diperuntukkan di bawah Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan," kata Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsudin dalam satu kenyataan hari ini.


Proses seterusnya ialah istiadat Pengumuman Surat Acara Pelantikan dan istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Selia serta Sumpah Simpan Rahsia sebagai Perdana Menteri yang dijadualkan berlangsung pada jam 5.00 petang hari ini ditana Negara.


Ahmad Fadil berkata, Seri Paduka Baginda juga berpesan kepada semua pihak bahawa yang menang tidak menang semua dan yang kalah tidak kalah semua.


"Justeru, bagaikan biduk lalu, kambang bertaut, hulurkan tangan antara satu dengan yang lain bagi merapatkan semula saf antara semua ahli-ahli Dewan Rakyat demi masa depan negara tercinta," katanya.


Jelas beliau, Seri Paduka Baginda menegaskan bahawa negara ini umpama harta pusaka di mana para pemimpin adalah pemegang amanahnya. Harta pusaka ini perlu dijaga kerana ianya bakal diwarisi oleh generasi muda yang akan membawa negara terus ke mercu kejayaan


"Seri Paduka Baginda turut berpesan kepada Perdana Menteri dan Kerajaan baharu Baginda yang bakal dibentuk untuk mengambil resmi padi semakin berisi semakin tunduk.


"Hakikatnya rakyat jelata tidak wajar dibebankan dengan kemelut politik yang tiada kesudahan tatkala negara memerlukan sebuah Kerajaan yang stabil untuk merancakkan lanskap ekonomi dan pembangunan negara," katanya.

bottom of page