top of page
Wartawan Nabalu News

Anwar sertai Sidang Kemuncak ASEAN-Jepun, rapatkan hubungan dengan negara tetangga


18 Disember 2023

Oleh Wartawan Nabalu News

 

TOKYO: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan bahawa Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Jepun yang dihadirinya bersama pemimpin-pemimpin ASEAN lain adalah satu peluang untuk merapatkan hubungan dengan negara tetangga dalam ruang benua yang sama.

 

Beliau menghadiri makan malam bersama delegasi dan rakan pemimpin ASEAN lain di Tokyo, pada Ahad.

 

"Ini memberi ruang kepada saya dan rakan sejawat menggunakan kesempatan yang ada untuk merapatkan hubungan sesama negara tetangga dalam ruang benua yang sama.

 

“Sebelum itu, kami sempat menaikkan tanglung berwarna-warni yang bersesuaian dengan rona keluarga ASEAN untuk dihiaskan di Tokyo Tower bersama sekumpulan pelajar tempatan. Terima kasih di atas detik yang amat bersejarah ini!,” kata Anwar.

 

Anwar menyertai pemimpin-pemimpin ASEAN yang lain pada Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Jepun, antara acara utama pada lawatan lima hari beliau ke Jepun.

 

Pemimpin daripada 10 negara anggota kecuali Myanmar, berada di Tokyo untuk sidang kemuncak itu. Sidang itu juga turut disertai Timor Leste.

 

Sidang itu merupakan kemuncak kepada aktiviti memperingati ulang tahun ke-50 hubungan dialog ASEAN-Jepun.

 

Acara peringatan itu bermula dengan simposium di Jakarta, Indonesia, pada Februari dan di Tokyo pada Mac.

 

Sepanjang tahun ini, pelbagai acara dan projek telah dianjurkan oleh pihak swasta dan kerajaan bagi memperingati ulang tahun ke-50 itu.

 

Ini termasuk Minggu Perniagaan ASEAN-Jepun pada Jun, Mesyuarat Khas Menteri Kehakiman ASEAN-Jepun pada Julai, dan Dialog Khas Menteri Pelancongan ASEAN-Jepun pada Oktober.

 

Comments


bottom of page