Anwar sifatkan Transformasi Parlimen satu permulaan baik Anwar sifatkan Transformasi Parlimen satu permulaan baik
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Anwar sifatkan Transformasi Parlimen satu permulaan baik



11 September 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan Transformasi Parlimen sebagai satu permulaan yang baik bagi merealisasikan penambahbaikan parlimen dan pentadbiran kerajaan.


Sambil menyambut baik kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, beliau berkata, ia susulan pertemuan beliau dan pemimpin Pakatan Harapan (PH) dengan Perdana Menteri pada 25 Ogos lalu.


“Walaupun begitu, proses perbincangan masih berjalan untuk mencari titik persamaan yang terbaik bagi menangani krisis pandemik COVID-19, menjaga nyawa dan keselamatan diri dari ancaman wabak dan membebaskan rakyat dari cengkaman ekonomi berikutan kehilangan pendapatan dan pekerjaan.


“Justeru itu, antara lain PH turut mengusulkan peruntukan tambahan sebanyak RM45 bilion untuk segera meringankan beban hidup rakyat,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.


Anwar berkata, keutamaan semestinya berteraskan reformasi Parlimen, reformasi fiskal dan program pro-rakyat termasuk moratorium pinjaman bank untuk golongan M40 dan B40 serta kebebasan institusi kehakiman.


Mengenai isu usul undi percaya terhadap Perdana Menteri, Anwar yang juga Persiden PKR berkata, PH melihat masih wujud keperluan ia diadakan secepat mungkin pada sidang Parlimen kali ini.


Tegasnya, ia berdasarkan titah Yang di-Pertuan Agong kepada ketua-ketua parti politik sewaktu sesi menghadap di Istana Negara pada 17 Ogos lalu, bagi mengabsahkan bahawa Perdana Menteri telah mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat.


“PH akan terus memainkan peranan sebagai pembangkang dengan menekankan isu tatakelola Kerajaan yang baik serta ketegasan membasmi rasuah.


“Wajar ditegaskan tuntutan agar pembangkang diberi layanan setimpal, dan akan memainkan peranan sewajarnya dalam menyemak dan mengimbangi pihak Eksekutif.


“Kami akan sentiasa lantang memperjuangkan keadilan untuk rakyat,” katanya lagi.


Perdana menteri di dalam sutu kenyataannya semalam, mengumumkan tujuh tawaran Transformasi Parlimen dan Pentadbiran untuk mengembalikan kestabilan politik demi menangani wabak COVID-19 dan memulihkan ekonomi negara.

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page