top of page

Anwar terima Order of the Republic, anugerah tertinggi Turkiye

  • nabalunews
  • 2h
  • 1 min read

8 Januari 2026


ANKARA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menerima anugerah Order of the Republic, iaitu darjah kebesaran tertinggi Turkiye, sebagai pengiktirafan terhadap peranan beliau memperkukuh hubungan dua hala antara Malaysia dan republik itu.


Anugerah berkenaan disampaikan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan dalam satu majlis yang berlangsung di Kompleks Presiden di sini, semalam.


Anwar dalam kenyataan berkata, beliau menerima penganugerahan itu dengan penuh rasa syukur dan rendah diri, bukan atas kapasiti peribadi, sebaliknya bagi pihak seluruh rakyat Malaysia.


"Penganugerahan ini juga melambangkan keakraban persahabatan yang telah lama terjalin antara kedua-dua negara, berteraskan kepercayaan, saling menghormati dan aspirasi bersama untuk keamanan serta kemakmuran sejagat.


"Saya berharap pengiktirafan ini akan terus menjadi pemangkin untuk memperkukuh kerjasama Malaysia dan Türkiye merentasi pelbagai bidang strategik, demi manfaat bersama rakyat kedua-dua negara," katanya.


Anwar, yang juga Menteri Kewangan, mengadakan lawatan rasmi selama tiga hari ke Turkiye atas jemputan Erdogan.


Lawatan yang dijadual berakhir hari ini adalah sebahagian daripada usaha memperkukuh hubungan dua hala yang telah lama terjalin antara kedua-dua negara.


Jumlah perdagangan Malaysia dengan Turkiye dari Januari hingga November 2025 mencecah RM21.2 bilion (USD4.92 bilion), dengan republik itu kekal sebagai rakan ekonomi yang penting bagi Malaysia.


Pada 2024, Turkiye adalah rakan perdagangan ketiga terbesar Malaysia, destinasi eksport terbesar serta sumber import keempat terbesar dalam kalangan negara Asia Barat, dengan jumlah perdagangan bernilai RM24.15 bilion (AS$5.28 bilion).

 
 
 
photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page