- nabalunews
Anwar tiba di Vladivostok hadiri Forum Ekonomi Timur ke-9
4 September 2024
VLADIVOSTOK: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Vladivostok, Rusia pagi ini sempena lawatan kerja dua hari ke bandar raya pelabuhan utama di wilayah Timur Jauh Rusia untuk menghadiri Forum Ekonomi Timur (EEF) ke-9 yang berlangsung di Russky Island.
Pesawat khas yang membawa beliau mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Vladivostok kira-kira jam 8.33 pagi waktu tempatan dan disambut oleh Duta Besar Malaysia ke Rusia, Datuk Cheong Loon Lai.
Menyambut ketibaan bagi pihak Rusia ialah Pengarah Third Asian Department Ludmilla Vorobieva; Timbalan Gabenor Wilayah Primorskii Aleksei Nazdratenko dan Timbalan Datuk Bandar Vladivostok, Daria Stegniy.
Anwar diiringi Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz; Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari; Timbalan Menteri Ekonomi Datuk Hanifah Hajar Taib dan Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Arthur Joseph Kurup serta pegawai kanan.
Perdana Menteri akan berucap pada Sidang Pleno EEF ke-9 pada Khamis, selain dijadual mengadakan pertemuan dua hala dengan Presiden Rusia Vladimir Putin.
Dalam lawatan ini, Perdana Menteri turut diiringi delegasi Kementerian Ekonomi serta Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.
Menurut Wisma Putra, Malaysia dan Rusia komited untuk mengukuhkan kerjasama mengenai keselamatan makanan, melalui promosi perdagangan dan pelaburan, pembinaan kapasiti serta penyelidikan dan pembangunan.
Kommentare