Anwar: Wartawan main peranan sebagai pembimbing, pencetus idea
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Anwar: Wartawan main peranan sebagai pembimbing, pencetus idea


10 Jun 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa wartawan mempunyai peranan penting sebagai pembimbing idea dan penjana ilmu menerusi pelaporan berita yang sahih dan telus.


Beliau berkata, wartawan tidak hanya melapor, tetapi juga memimpin dan menjadi pendorong idea yang boleh membantu membentuk tatakelola pemimpin dan pentabiran yang lebih baik.


“Tidak boleh kita lapor tanpa nilai kerana kehilangan nilai akan membuatkan kita diheret sehingga boleh mencetuskan keruntuhan masyarakat. Sebab itu saya masih tuntas dengan pandangan tugas wartawan bukan sekadar melaporkan tetapi membimbing idea kepada negara," katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap pada Malam Wartawan Malaysia 2023 sempena Hadiah Kewartawanan Malaysia (HKM) MPI-Petronas 2022 pada Jumaat.


Beliau juga menyeru warga media untuk sama-sama menggalas tanggungjawab mendidik masyarakat menanam minat membaca dan menimba ilmu pengetahuan.


"Minat membaca akan membolehkan sesuatu isu yang timbul termasuk yang membabitkan negara, difahami dengan lebih mendalam.


“Pengamal media perlu membantu untuk memberi penekanan supaya Malaysia bukan sahaja dikenali sebagai negara yang bercambahnya institusi pendidikan tetapi mengangkat kefahaman rakyat," jelasnya.



bottom of page