top of page

Apakah Status Empat Projek Bekalan Air Di Tuaran, Soal Madius Kepada KKDW

nabalunews
52 minutes ago
2 min read

KUALA LUMPUR, 5 November – Ahli Parlimen P.170 Tuaran, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau, mendesak Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) memperjelas status pelaksanaan empat projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB) yang melibatkan kawasan Parlimen Tuaran.


Beliau berkata, projek berkenaan melibatkan Sistem Retikulasi Tahun 2018/2019 Bahagian Kota Kinabalu yang turut merangkumi Tuaran, Upper Kiulu, Bukit Giling–Ulu Bakut serta Penimbawan dan kawasan sekitarnya.


Madius meminta kementerian menjelaskan bilakah penduduk di kawasan terbabit dapat menikmati bekalan air terawat, selain memastikan dokumen pelaksanaan dan pembiayaan projek tersedia susulan penyerahan pelaksanaan kepada Kerajaan Sabah.


“Bila air akan sampai ke rumah penduduk? Selepas pelaksanaan diserahkan kepada Sabah, adakah dokumen dan pembiayaan sudah tersedia?” katanya ketika membahaskan Belanjawan 2027 peringkat Jawatankuasa bagi KKDW di Dewan Rakyat pada Khamis.


Menurutnya, pelaksanaan projek perlu memastikan penduduk benar-benar menerima bekalan air dan bukan sekadar menyiapkan infrastruktur fizikal.


Bagi projek Penimbawan, beliau turut meminta kementerian memberikan maklum balas mengenai permintaannya untuk meningkatkan kapasiti loji daripada empat juta liter kepada 16 juta liter sehari supaya kawasan Tenghilan turut mendapat manfaat.


“Bagi Penimbawan, apakah keputusan permintaan Tuaran menambah kapasiti loji daripada empat kepada 16 juta liter sehari supaya Tenghilan turut mendapat manfaat?” soalnya.


Madius turut membangkitkan projek Kapa–Sinalapak dan meminta kementerian menjelaskan sama ada masalah tapak serta sumber air telah diselesaikan.


“Projek diteruskan atau diganti, dan bila penduduk mendapat air?” katanya.


Dalam isu bekalan elektrik pula, beliau meminta kementerian memperincikan peruntukan khusus untuk Tuaran di bawah projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) Zon Tiga yang melibatkan beberapa daerah.


Beliau mahu kementerian menyatakan kampung yang akan menerima kemudahan elektrik serta jumlah rumah yang disasarkan mendapat bekalan sepanjang 2027.


“Bagi BELB Zon Tiga yang melibatkan beberapa daerah, berapa peruntukan khusus untuk Tuaran? Kampung mana dan berapa rumah akan mendapat elektrik pada 2027?” katanya.


Madius menegaskan bahawa kemudahan bekalan air dan elektrik merupakan keperluan asas yang perlu diberikan perhatian serius oleh kerajaan, khususnya bagi penduduk di kawasan luar bandar.


Beliau mahu kementerian memberikan penjelasan mengenai peruntukan, status pelaksanaan dan jadual penyelesaian setiap projek supaya penduduk tidak terus menunggu tanpa kepastian.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page