top of page

Perincikan Agihan RM438 Juta Skim Kesejahteraan Rakyat Kepada Sabah - Ahli Parlimen Tuaran

nabalunews
48 minutes ago
1 min read

KUALA LUMPUR, 5 November – Ahli Parlimen P.170 Tuaran, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau, meminta Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) memperincikan pengagihan peruntukan RM438 juta di bawah Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat dalam Belanjawan 2027.


Beliau berkata, kementerian perlu menjelaskan jumlah sebenar peruntukan yang disediakan untuk Sabah dan kawasan Parlimen Tuaran, termasuk pecahan bagi bantuan perumahan serta program peningkatan pendapatan.


“Berapa untuk Sabah dan Tuaran? Nyatakan pecahan bantuan rumah dan peningkatan pendapatan,” katanya ketika membahaskan Belanjawan 2027 peringkat Jawatankuasa bagi KKDW di Dewan Rakyat pada Khamis.


Madius turut meminta kementerian menyatakan jumlah keluarga yang masih menunggu bantuan perumahan serta bilangan keluarga yang akan menerima manfaat sepanjang 2027.


“Berapa keluarga masih menunggu bantuan rumah, dan berapa akan dibantu tahun depan?” soalnya.


Menurutnya, maklumat terperinci mengenai pecahan peruntukan dan sasaran penerima amat penting bagi memastikan bantuan kerajaan sampai kepada golongan yang benar-benar memerlukan.


Beliau berkata, program kesejahteraan rakyat perlu memberikan manfaat langsung kepada masyarakat, khususnya keluarga berpendapatan rendah yang masih berhadapan dengan masalah perumahan dan kekurangan peluang meningkatkan pendapatan.


Madius menegaskan bahawa peruntukan kerajaan perlu diterjemahkan kepada perubahan nyata dalam kehidupan rakyat dan bukan sekadar angka dalam dokumen belanjawan.


“Tuan Pengerusi, rakyat mahu jalan selamat, air sampai, elektrik tersedia dan rumah selamat didiami,” katanya.


Beliau menggesa KKDW menetapkan sasaran serta tarikh penyelesaian yang jelas bagi setiap program dan projek supaya pelaksanaan peruntukan dapat dipantau serta dinilai berdasarkan manfaat yang diterima rakyat.


“Pastikan setiap peruntukan membawa perubahan kepada kehidupan mereka. Selesai untuk rakyat,” tegasnya.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page