Madius Minta KKDW Perjelas Pelan Naik Taraf 3,491 KM Jalan Luar Bandar Sabah
nabalunews
55 minutes ago
2 min read

KUALA LUMPUR, 5 November – Ahli Parlimen P.170 Tuaran, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau, mendesak Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) memperjelas pelan serta komitmen peruntukan bagi menaik taraf 3,491 kilometer jalan Jabatan Kerja Raya (JKR) di Sabah yang masih memerlukan penambahbaikan.
Beliau berkata, berdasarkan angka yang diterima, dengan anggaran kos RM4 juta bagi setiap kilometer, keperluan keseluruhan untuk menaik taraf jalan berkenaan dianggarkan hampir RM14 bilion.
“Tuaran minta Menteri mengesahkan angka ini. Bila semuanya akan selesai dinaik taraf? Berapa kilometer disasarkan dalam Rancangan Malaysia Ketiga Belas, dengan pembiayaan berapa setiap tahun?” katanya ketika membahaskan Belanjawan 2027 peringkat Jawatankuasa bagi KKDW di Dewan Rakyat di sini pada Khamis.
Presiden Kehormat UPKO itu turut meminta kementerian menyatakan jumlah peruntukan khusus untuk Sabah pada 2027, termasuk berapa kilometer jalan yang akan mula dinaik taraf dan berapa yang dijangka siap dalam tahun berkenaan.
Madius turut membangkitkan status pembinaan Jambatan baharu Tamparuli dan meminta kementerian menjelaskan bilakah projek berkenaan akan dimulakan.
Dalam pada itu, beliau meminta KKDW memberikan gambaran sebenar mengenai projek pembangunan luar bandar yang dibatalkan atau ditangguhkan, termasuk projek yang masih berjalan, yang terjejas serta bila pelaksanaannya akan disambung semula.
“Sekarang Tuaran minta KKDW nyatakan keadaan sebenar. Projek mana masih berjalan, mana tertangguh dan bila akan disambung?” katanya.
Beliau turut meminta kementerian menyediakan senarai lengkap semua projek Jalan Luar Bandar (JALB) dan Jambatan Luar Bandar di Parlimen Tuaran, berserta kemajuan fizikal, peruntukan 2027, tarikh siap serta tindakan terhadap projek yang mengalami kelewatan.
Mengambil contoh projek Jalan Mantob–Gonipis, Madius berkata, berdasarkan maklumat yang diterimanya, projek itu sepatutnya siap pada Mac 2026, namun kerja di tapak masih berjalan perlahan dengan jumlah jentera yang terhad.
“Bagaimana kontraktor ini dipilih? Adakah kemampuan kewangan, pekerja, jentera dan beban projeknya diperiksa? Apa tindakan kementerian sekarang, dan bila jalan ini akan siap?” soalnya.
Beliau turut mempersoalkan kemungkinan wujudnya pakatan kartel dalam pemberian kontrak serta kemungkinan syarikat tertentu menerima terlalu banyak projek sehingga tidak mampu menyiapkannya mengikut jadual.
“Orang kampung terus menanggung kesusahan. Anak-anak perlu ke sekolah, petani membawa hasil dan orang sakit mendapatkan rawatan,” katanya.
Madius menegaskan bahawa kementerian perlu memastikan setiap projek infrastruktur disiapkan mengikut jadual kerana kelewatan pelaksanaan memberi kesan langsung kepada kehidupan masyarakat luar bandar.
“Rakyat mahu jalan selamat. Berilah sasaran dan tarikh penyelesaian yang jelas,” katanya.















Comments