Aplikasi Kebun Dapur bakal dilancar Ketua Menteri
- nabalunews
- 4 hours ago
- 2 min read

12 April 2026
KOTA KINABALU: Inisiatif Kebun Dapur Sabah bakal diperkasa dengan pelancaran aplikasi digital khusus yang akan memudahkan urusan pemasaran hasil pertanian dan ternakan.
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Jamawi Jaafar, berkata aplikasi dikenali sebagai “Kebun Dapur App” itu dijangka dilancarkan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dalam tempoh sebulan.
Katanya, ia bagi memperkukuh ekosistem pengeluaran makanan di peringkat komuniti.

“Pembangunan aplikasi itu bertujuan membolehkan pengguna mengetahui bekalan semasa hasil pertanian dan ternakan di seluruh negeri hanya melalui telefon pintar.
“Melalui aplikasi ini, kita boleh tahu di Kundasang berapa banyak sayur kobis tersedia pada hari ini, atau berapa bekalan ikan tilapia di seluruh Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan kursus ternakan ayam penelur di Kampung Karambunai Baru, dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Dalit, hari ini.

Jamawi berkata, aplikasi itu juga akan menghubungkan pengeluar dengan pembeli secara terus, sekali gus membantu merancang permintaan dan penawaran dalam tempoh tertentu.
“Petani boleh maklumkan lebih awal, contohnya mereka akan keluarkan 100 kilogram bendi pada tarikh tertentu, dan pembeli boleh terus membuat tempahan melalui aplikasi,” katanya.
Menurutnya, pendekatan itu bukan sahaja meningkatkan kecekapan rantaian bekalan, malah mengurangkan pembaziran hasil pertanian.
Dalam masa sama, Jamawi menegaskan aplikasi tersebut berperanan mengurangkan kebergantungan kepada orang tengah yang selama ini menjejaskan pendapatan petani.
“Kadang-kadang orang tengah membeli hasil dengan harga rendah di kampung tetapi menjual dengan harga tinggi di bandar. Ini tidak adil kepada petani yang bertungkus-lumus menghasilkan produk,” katanya.
Sehubungan itu, katanya, penggunaan aplikasi berkenaan dijangka meningkatkan pendapatan petani, penternak dan nelayan melalui akses pasaran yang lebih telus.
Mengulas lanjut, Jamawi berkata, inisiatif Kebun Dapur yang sedang digerakkan kerajaan negeri turut memberi fokus kepada pengeluaran makanan secara sara diri di peringkat isi rumah.
Katanya, program itu menggalakkan masyarakat kampung menternak ayam, itik serta menanam sayur-sayuran di sekitar rumah bagi mengurangkan kos sara hidup.
“Kalau ada sumber makanan sendiri di rumah, tidak timbul lagi rungutan harga ayam, ikan atau sayur yang mahal,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa Sabah kini masih bergantung sehingga 95 peratus kepada import makanan ternakan, yang menyebabkan kos meningkat ketika berlaku krisis global.
“Apabila harga makanan ternakan naik, kos pengeluaran turut meningkat dan akhirnya pengguna terpaksa menanggung harga lebih tinggi,” katanya.
Justeru, Jamawi berkata, Kerajaan Negeri giat memperkenalkan latihan dan bimbingan kepada komuniti melalui program Kebun Dapur dengan bantuan mentor berpengalaman.
Katanya, kursus seperti ternakan ayam penelur dan penghasilan dedak secara sendiri menggunakan sumber tempatan diadakan secara praktikal di lapangan.
“Kita tidak buat program di hotel, tetapi terus di lapangan supaya peserta dapat melihat sendiri dan memahami cara pelaksanaan,” katanya.
Beliau menambah, Kerajaan juga telah mengaktifkan pusat pengumpulan hasil pertanian dan ternakan di setiap kawasan Parlimen bagi memudahkan pemasaran lebihan hasil.
Dalam pada itu, Jamawi berharap lebih ramai anak muda akan terlibat sebagai usahawan dalam sektor pertanian dan ternakan melalui program tersebut.
“Dengan sokongan teknologi seperti aplikasi Kebun Dapur, kita yakin industri ini akan berkembang dan memberi pendapatan lebih baik kepada rakyat,” katanya.















Comments