top of page

APMM bantu wanita warga emas dapatkan rawatan mata

nabalunews

22 Disember 2024


SANDAKAN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Sandakan melaksanakan misi bantuan terhadap seorang wanita warga emas yang memerlukan rawatan mata dengan segera di Hospital Duchess Of Kent (HDOK), Sandakan.


Wanita berkenaan, Saripah Abdul Karim, 73, dibawa menaiki Bot Halilintar 4 dari Jeti Kampung Tundun, Bohangin, Kinabatangan ke Jeti Zon Maritim Sandakan dengan anggaran jarak hampir 45 batu nautika.


Pesakit ini mengalami kecederaan serius pada mata selain mempunyai penyakit kronik, dibawa ke HDOK bagi mendapatkan bantuan perubatan dan tindakan susulan.


Pengarah Zon Maritim Sandakan, Kepten Maritim Muhamad Suhairy Hussain berkata, Pusat Operasi Zon Maritim Sandakan menerima aduan pada jam 9.20 pagi dan memaklumkan kepada Maritim Rescue Sub Center (MRSC) Kota Kinabalu yang seterusnya melaksanakan bantuan berkenaan.


“Pesakit Saripah telah dibawa menaiki Bot Halilintar 4 dari Jeti Kampung Tundun, Bohangin, Kinabatangan ke Jeti Zon Maritim Sandakan dengan anggaran jarak hampir 45 batu nautika.


“Walaupun dalam keadaan cuaca buruk serta laut bergelora, Saripah yang diiringi dua anaknya selamat tiba di Jeti Zon Maritim Sandakan, jam 11.35 pagi,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.


Menurutnya, seterusnya Saripah dibawa ke HDOK bagi menerima rawatan lanjut.


Sementara itu, Suhairy turut mengingatkan komuniti maritim supaya mematuhi langkah-langkah keselamatan yang perlu diambil ketika berada di laut bagi mengelak kejadian tidak diingini.


“Seperti memakai jaket keselamatan, merujuk ramalan kaji cuaca, memastikan bot dalam keadaan baik, membawa Personal Locator Beacon (PLB), maklumkan destinasi kepada ahli keluarga, membawa bekalan makanan secukupnya serta mengelakkan aktiviti di luar kawasan liputan telekomunikasi.


“Orang awam juga diminta agar melaporkan sebarang kejadian kecemasan dan kemalangan di laut ke Pusat Operasi Zon Maritim Sandakan di talian 089-229504 atau ke talian kecemasan 999,” katanya.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page