Armizan Sempurnakan Program Sentuhan Kasih, Jualan Rahmah Madani di Papar
- nabalunews
- 2 hours ago
- 1 min read

Oleh : Romie Stanley DGuns
8 Mac 2026
PAPAR: Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Datuk Armizan Mohd Ali, telah menyempurnakan Program Sentuhan Kasih, Jualan RAHMAH MADANI dan Advokasi Kepenggunaan di Masjid As-Sobirin, Kampung Takis, Papar, semalam.
Program itu menyaksikan pelbagai aktiviti kemasyarakatan dan ekonomi dijalankan, mendapat sambutan menggalakkan daripada lebih 100 penduduk setempat. Ia bertujuan merapatkan hubungan antara kerajaan dan rakyat di samping menyampaikan manfaat langsung kepada komuniti.
Dalam program tersebut, Armizan turut menyantuni 100 golongan asnaf dan memerlukan dengan menyampaikan sumbangan bakul RAHMAH serta bantuan wang tunai daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Sesi walkabout di tapak Jualan RAHMAH MADANI turut dilakukan, di mana pengunjung berpeluang membeli barangan keperluan pada harga lebih murah, termasuk tawaran istimewa sehingga 30 peratus ketika sesi 'happy hour'. Selain itu, cabutan bertuah dengan hadiah barangan elektrik turut memeriahkan suasana.
Dalam aspek pendidikan pengguna, pihak KPDN Cawangan Papar melalui Adil Naqiuddin telah mengadakan sesi advokasi kepenggunaan. Sesi soal jawab interaktif bersama masyarakat setempat itu bertujuan meningkatkan kesedaran serta melahirkan pengguna yang lebih bijak dan berpengetahuan dalam membuat keputusan pembelian.
Turut hadir dalam program ini ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Manis, Datuk Hj Pengiran Saifuddin Hj Pengiran Tahir, Setiausaha Sulit Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Roslie Ibrahim; Pengarah KPDN Sabah, Shahril Nizam Shahidin, Ketua Polis Daerah Papar, Superintenden Heryan Tahir, serta wakil daripada Yayasan Sabah dan Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Pantai Manis.











