Arthur Joseph Kurup dilantik Pengerusi BN Sabah baharu
- nabalunews
- Jan 22
- 1 min read

22 Januari 2026
KOTA KINABALU: Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Datuk Seri Panglima Arthur Joseph Kurup, dilantik sebagai Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah yang baharu.
Pelantikan beliau bagi menggantikan Allahyarham Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin yang meninggal dunia bulan lalu.
Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, berkata perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Dewan Tertinggi BN pada Rabu sebagai langkah strategik untuk memperkukuh penyelarasan serta kesiapsiagaan gabungan berkenaan di Sabah.
“Selain itu, Dewan Tertinggi BN turut bersetuju melantik Datuk Jafry Ariffin sebagai Timbalan Pengerusi manakala Datuk Haji Mohd Hasnol Ayub sebagai Setiausaha BN Sabah,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan.
Dalam perkembangan berkaitan, Dr Zambry berkata mesyuarat turut menerima penyertaan semula Parti Progresif Penduduk Malaysia (PPP) sebagai parti komponen BN.
“Keputusan ini selaras dengan usaha memperkukuh gabungan politik berbilang kaum di bawah satu payung perjuangan yang inklusif dan progresif,” ujarnya.
Beliau turut merakamkan penghargaan serta ucapan terima kasih kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, atas pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sukau, Datuk Jafry Ariffin sebagai Menteri dan Datuk Seri Dr Anil Sandhu sebagai Pembantu Menteri.
Pada masa sama, katanya, BN menghargai sokongan Hajiji terhadap gabungan itu dalam menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) P.187 Parlimen Kinabatangan dan N.58 Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag.
"BN kini sedang mempertingkatkan gerak kerja dan kesiapsiagaan jentera parti bagi menghadapi kedua-dua PRK itu dengan memberi penekanan kepada penyelarasan jentera, strategi kempen yang berkesan serta komitmen berterusan untuk menyampaikan khidmat terbaik kepada rakyat," katanya.


















Comments