ATM GUNA DRON BUAT HEBAHAN PATUHI PKP DI SIBUATM GUNA DRON BUAT HEBAHAN PATUHI PKP DI SIBU
top of page
  • nabalunews

ATM GUNA DRON BUAT HEBAHAN PATUHI PKP DI SIBU


Gambar Hiasan

2 FEB 2021


KUCHING: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah menggunakan dron sebagai satu kaedah untuk membuat hebahan kepada penduduk di sekitar Bahagian Sibu di Sarawak, agar terus mematuhi peraturan dalam tempoh penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di situ.


Panglima 1 Divisyen Infantri Malaysia Mej Jen Datuk Dzulkafli Mustaffa hari ini berkata, dron canggih yang turut berupaya melaksanakan tugas-tugas risikan itu, telah diterbangkan di ruang udara bandar Sibu dan juga di sekitar penempatan rumah panjang.


“Kita membuat hebahan kepada penduduk di Sibu supaya patuh kepada SOP (prosedur operasi standard), dan kita menggunakan tiga bahasa iaitu bahasa Cina, bahasa Inggeris dan bahasa Iban.


Terbaharu kita guna (dron) di Sibu Jaya (kawasan bandar baru di Sibu yang diletakkan di bawah sekatan pergerakan),” katanya kepada pemberita di sini.


Terdahulu Dzulkafli membuat tinjauan sekatan jalan raya (SJR) yang dikendalikan polis dan tentera di Jalan Bau-Serikin dekat sini.


Dalam pada itu, beliau berkata seramai 120 anggota tentera berpangkalan di sini akan digerakkan ke Sibu Khamis ini, sebagai tenaga tambahan untuk menguatkuasakan PKP di bahagian berkenaan.


Dzulkafli berkata seramai 40 anggota tambahan turut ditugaskan di daerah Kapit dan 20 lagi di daerah Song, berikutan pengumuman pelaksanaan PKP di kedua-dua daerah berkenaan bermula hari ini.


Menurutnya seramai 131 anggota tentera terlibat untuk tugasan SJR, 102 bagi rondaan berkenderaan bersama-sama polis di seluruh negeri ini dan 67 lagi terlibat dalam pasukan pemantauan pematuhan.


“Terbaharu kita juga membantu mengawal rumah panjang ketika pelaksanaan Pengesanan Kes Aktif oleh pihak Kementerian Kesihatan bermula 21 Jan lepas. Seramai 111 anggota diatur dan digerakkan ke 19 buah rumah panjang di Sri Aman, Serian, Sebauh dan Bintulu,” katanya. - Bernama

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page