Azam Baki sedia disiasat jawatankuasa bebas isu pemilikan saham
- nabalunews
- 33 minutes ago
- 2 min read

13 Februari 2026
KUALA LUMPUR: Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki menyatakan kesediaan untuk disiasat oleh mana-mana jawatankuasa bebas yang ditubuhkan kerajaan bagi meneliti perkara berkaitan pemilikan sahamnya.
Azam berkata, beliau tidak mempunyai apa-apa untuk disembunyikan kerana semua pengisytiharan kewangan dan harta telah dibuat selaras dengan peraturan perkhidmatan awam yang berkuat kuasa serta melalui saluran rasmi yang ditetapkan.
"Saya mengalu-alukan sebarang proses yang telus, bebas dan objektif bagi menentukan fakta berasaskan bukti serta mengikut prinsip keadilan dan keluhuran undang-undang.
“Pendekatan sedemikian penting bukan sahaja untuk mempertahankan integriti peribadi saya, malah bagi mengekalkan keyakinan rakyat terhadap SPRM sebagai sebuah institusi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebagai penjawat awam dan ketua agensi penguatkuasaan, Azam berkata mana-mana individu yang berhadapan dengan dakwaan sewajarnya bersikap terbuka serta bersedia untuk disiasat secara bebas dan telus.
Menurutnya, prinsip berkenaan harus terpakai kepada semua tanpa pengecualian dan budaya akauntabiliti tidak boleh bersifat terpilih atau bermusim.
"SPRM sentiasa mengambil maklum setiap laporan dan aduan yang dikemukakan oleh mana-mana pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO), serta menilai setiap maklumat berdasarkan undang-undang dan fakta yang diperoleh melalui proses siasatan yang sah.
“Tiada siapa berada di atas undang-undang, dan tiada siapa juga yang harus dihukum melalui persepsi atau naratif media semata-mata,” jelasnya.
Azam menambah, sepanjang perkhidmatannya, beliau kekal komited terhadap prinsip ketelusan, akauntabiliti dan kedaulatan undang-undang, justeru akan terus memberikan kerjasama penuh kepada mekanisme sah yang ditubuhkan untuk meneliti perkara berkenaan.
Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa kebenaran akan dapat ditegakkan melalui suatu proses yang adil dan bebas.
Sebelum ini, sebuah portal antarabangsa melaporkan Azam, 62, dikatakan memiliki 17.7 juta saham Velocity Capital Partner Bhd, sebuah syarikat perkhidmatan kewangan tersenarai di Bursa Malaysia berdasarkan pemfailan tahunan oleh Velocity Capital kepada kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) pada 3 Februari tahun lalu.
Namun, pada Rabu, Azam menafikan masih memegang saham dalam mana-mana syarikat dan menyifatkan laporan yang dikeluarkan media antarabangsa itu berniat jahat.














