Tiga Lelaki Dihukum Setelah Didapati Bersalah Rogol dan Amang Seksual Kanak-Kanak
- nabalunews
- 25 minutes ago
- 2 min read

13 Februari 2026
KOTA MARUDU: Mahkamah Sesyen Kota Marudu semalam menjatuhkan hukuman penjara dan sebatan terhadap tiga lelaki yang didapati bersalah melakukan kesalahan rogol dan amang seksual terhadap kanak-kanak, termasuk mangsa dari kalangan ahli keluarga.
Kesemua kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Puan Tham Pou Jin, manakala keputusan hukuman dibacakan oleh Hakim Tuan A. Akhiruddin Bin Acho.
Kes Pertama: Rogol Anak Ipar
Tertuduh, Dennis Orabas, 45 tahun, didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia 16 tahun yang merupakan abang iparnya. Kejadian dikatakan berlaku di Kampung Ginarinan, Kota Marudu.
Dennis ditahan pada 4 Julai 2018 di Kampung Tandek, Kota Marudu. Pendakwaan dibuat di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, dibaca bersama Seksyen 16 akta yang sama.
Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 14 tahun bermula dari tarikh sabitan, 7 sebatan, serta perintah pengawasan polis selama tiga tahun selepas tamat tempoh pemenjaraan.
Kes Kedua: Rogol Anak Buah
Midin Antalib, 38 tahun, menghadapi dua pertuduhan merogol anak buahnya berusia 15 tahun. Kejadian dipercayai berlaku di kawasan hutan Jalan Andagon Marak Parak dan kawasan semak berhampiran Simpang Kampung Talas, Kota Marudu, pada 25 Julai 2023.
Suspek ditahan pada hari laporan dibuat, 7 Ogos 2023, di Kampung Malangkap Tengah. Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan.
Bagi setiap pertuduhan, tertuduh dijatuhi hukuman penjara 15 tahun dan 5 sebatan. Mahkamah memerintahkan hukuman penjara berjalan serentak. Tertuduh juga dikenakan perintah pengawasan polis selama tiga tahun selepas menjalani hukuman.
Kes Ketiga: Rogol Anak Kandung (Mangsa OKU)
Kes paling berat melibatkan Pius Majipun, 46 tahun, yang didapati bersalah merogol anak kandungnya sendiri berusia 16 tahun yang merupakan Orang Kurang Upaya (OKU). Kejadian berlaku pada 21 Disember 2024 di Kampung Tonsom, Kota Marudu.
Suspek ditahan pada 28 Disember 2024 di Kampung Batition. Pendakwaan dibuat di bawah Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan.
Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 16 tahun bermula dari tarikh sabitan, 12 sebatan, serta perintah pengawasan polis selama tiga tahun selepas tamat tempoh hukuman.
Ketiga-tiga tertuduh tidak diwakili peguam sepanjang prosiding.
Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintenden Simiun Lomudin, menegaskan bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak akan berkompromi terhadap sebarang jenayah seksual, terutamanya yang membabitkan kanak-kanak dan ahli keluarga.
"PDRM komited memastikan siasatan menyeluruh dan tuntas dilaksanakan agar pelaku dibawa ke muka pengadilan dan dikenakan hukuman setimpal. Kes seumpama ini bukan sahaja mencabul maruah mangsa, tetapi juga mengkhianati kepercayaan institusi kekeluargaan," katanya.
Beliau turut menasihati orang ramai agar segera membuat laporan polis jika mengetahui atau mengesyaki berlakunya kesalahan seksual terhadap kanak-kanak, serta menegaskan bahawa pendakwaan akan dilaksanakan tanpa mengira hubungan kekeluargaan antara suspek dan mangsa.
— Sumber: Unit Komunikasi Awam IPD Kota Marudu


















Comments