top of page

Beruang Madu Dijadikan Tarikan Pelancong, Pemilik Premis Didakwa

  • nabalunews
  • 18 minutes ago
  • 1 min read

13 Februari 2026


KOTA KINABALU: Jabatan Hidupan Liar Sabah menahan dua orang lelaki dan merampas seekor anak Beruang Madu serta tiga keping taring spesies sama dalam dua operasi penguatkuasaan berasingan pada 12 Februari 2026 di Kota Marudu dan Lahad Datu.


Menurut kenyataan jabatan, operasi pertama dilakukan susulan aduan orang awam pada 11 Februari 2026 berhubung video tular di Facebook yang memaparkan seekor anak Beruang Madu ditempatkan di sebuah premis tarikan pelancong awam.


Hasil pemeriksaan di premis berkenaan di Kota Marudu, menemukan seekor anak Beruang Madu yang disimpan bagi tujuan tontonan awam. Seorang lelaki dipercayai pemilik atau pengurus premis ditahan bagi membantu siasatan.


Dalam operasi kedua yang dijalankan secara berasingan di sebuah kedai makan di Lahad Datu, seorang lelaki ditahan kerana disyaki memiliki tiga keping taring Beruang Madu yang dijadikan barang perhiasan.


Kesemua barang kes dirampas untuk tujuan siasatan lanjut.


Jabatan menegaskan bahawa Beruang Madu (Helarctos malayanus) merupakan spesies Dilindungi Sepenuhnya di bawah Jadual 1, Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997.


Tegasnya, tiada lesen atau permit dikeluarkan kepada mana-mana individu untuk memburu, memiliki, menyimpan atau mempamerkan spesies ini.


Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda tidak kurang RM50,000 dan tidak melebihi RM250,000 serta dipenjarakan selama tempoh tidak kurang satu tahun dan tidak melebihi lima tahun.


Jabatan Hidupan Liar Sabah menegaskan tidak akan berkompromi terhadap sebarang pelanggaran undang-undang berkaitan hidupan liar.


Jabatan juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada orang awam yang menyalurkan maklumat berkaitan jenayah hidupan liar.


Orang awam yang berhadapan dengan situasi melibatkan spesies Jadual 1 seperti Beruang Madu dinasihatkan supaya segera melaporkan kepada jabatan atau menyerahkan haiwan tersebut dengan kadar segera bagi tujuan penyelamatan dan pengurusan selanjutnya.

 
 
 
photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page