2,772 pelajar Sabah di UPSI terima bantuan tunai GRS/SUBFLY
- nabalunews
- 9 hours ago
- 2 min read

13 Februari 2026
TANJONG MALIM: Seramai 2,772 pelajar Sabah di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menerima Bantuan Graduan Rindu Sabah atau Subsidi Tiket Penerbangan Pelajar Sabah (GRS/SUBFLY) yang disalurkan secara tunai bagi tahun 2026.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, inisiatif berkenaan mencerminkan keprihatinan berterusan Kerajaan Negeri terhadap kebajikan pelajar Sabah yang melanjutkan pengajian di institusi pendidikan tinggi (IPT), khususnya di Semenanjung Malaysia.
Menurut beliau, bantuan subsidi tiket penerbangan itu diwujudkan sebagai sokongan kepada pelajar yang berjauhan daripada keluarga serta berdepan cabaran kos perjalanan untuk pulang ke kampung halaman.

“Inisiatif ini adalah tanda keprihatinan kerajaan terhadap anak-anak Sabah yang berusaha menimba ilmu demi masa depan diri, keluarga dan negeri tercinta.
"Bantuan ini diharap dapat meringankan beban kewangan pelajar untuk balik ke kampung halaman masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Inisiatif Bantuan Graduan Rindu Sabah atau Subsidi Tiket Penerbangan Pelajar Sabah (GRS/SUBFLY) Tahun 2026 di Panggung Percubaan Kampus Sultan Azlan Shah, UPSI, semalam.
Hajiji menambah, kerajaan negeri terus memberi penekanan serius terhadap pembangunan modal insan melalui pelbagai inisiatif pendidikan selaras dengan agenda Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 dan keutamaan sektor pendidikan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Sementara itu, Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff, menzahirkan penghargaan terhadap Kerajaan Negeri Sabah atas pelaksanaan inisiatif berkenaan yang disifatkan memberi manfaat besar kepada mahasiswa universiti itu.
“UPSI amat menghargai keprihatinan Kerajaan Negeri Sabah yang sentiasa memberi perhatian terhadap kebajikan mahasiswa Sabah, khususnya dalam aspek kebajikan dan kesejahteraan pelajar yang menuntut di Semenanjung Malaysia," ujarnya.
Jelas Md Amin, daripada keseluruhan 24,170 pelajar UPSI ketika ini, seramai 15,532 atau 64.3 peratus terdiri daripada golongan B40, sekali gus menggambarkan kepentingan bantuan kewangan dan kebajikan kepada pelajar.
Ujarnya, komuniti mahasiswa Sabah di universiti itu kekal signifikan dengan jumlah 2,772 pelajar, selain turut diperkukuh dengan kehadiran 30 kakitangan berasal dari Sabah, melibatkan 25 kakitangan akademik dan lima kakitangan pentadbiran.
“Taburan pelajar Sabah di UPSI menunjukkan penyertaan menyeluruh dari pelbagai daerah di Sabah, dengan Sandakan, Tawau dan Keningau antara daerah yang mencatatkan bilangan mahasiswa tertinggi," katanya.
Dalam pada itu, katanya, penubuhan Jabatan Bahasa Etnik di Fakulti Bahasa dan Komunikasi pada 2024 turut memperluas usaha pemerkasaan bahasa dan warisan etnik menerusi penawaran Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Bahasa Etnik) dengan Kepujian.
Menurut beliau, Program Anak Kita yang dilaksanakan UPSI di Sabah melibatkan 1,883 murid dari 24 daerah dan 49 sekolah menengah, sekali gus mencerminkan sumbangan universiti kepada pembangunan pendidikan di negeri itu.
“UPSI juga komited dalam memperkukuh pendidikan berkaitan Sabah, termasuk penawaran program Pendidikan Bahasa Kadazandusun di pelbagai peringkat pengajian,” katanya.


















Comments