Baby Camelia Ungguli Sugandoi Kaamatan Kota Belud 2025
- nabalunews
- 23 hours ago
- 2 min read

11 Mei 2025
KOTA BELUD: Bintang muda, Baby Camelia Peterus daripada Kampung Piasau muncul juara dalam pertandingan akhir Sugandoi Kaamatan Kota Belud 2025 yang berlangsung meriah malam tadi, menewaskan sembilan lagi finalis dalam persaingan yang sengit dan penuh semangat.
Dengan kemenangan ini, Baby membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM2,000, berserta piala, hamper dan sijil penghargaan. Lebih membanggakan, beliau juga kini secara rasmi akan mewakili daerah Kota Belud ke peringkat negeri yang dijadualkan berlangsung pada 23 Mei ini di Hongkod Koisaan KDCA, Kota Kinabalu.
Penampilan Baby di pentas final nyata memukau, bukan sahaja dari segi vokal yang mantap tetapi juga persembahan bertenaga bersama penari latar yang memberikan impak visual yang luar biasa. Keberanian dan keyakinannya menjadikan beliau pilihan utama barisan juri yang diketuai oleh pakar muzik berpengalaman, Frankie Laudi.

Di tempat kedua, CC Nigel Roger turut memberikan saingan hebat dan berjaya membawa pulang RM1,500 bersama hamper dan sijil. Tempat ketiga pula dimenangi oleh Boby Jacktro Majin yang meraih RM1,000, turut menerima hamper dan sijil sebagai penghargaan atas usaha dan persembahannya.
Majlis yang berlangsung dalam suasana penuh semangat itu turut mendapat sorakan padu daripada para penonton yang hadir, menunjukkan sokongan tidak berbelah bahagi kepada setiap peserta.
Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Pegawai Daerah Kota Belud, Peter Jitun, yang menyatakan bahawa kemenangan Baby adalah pilihan tepat berdasarkan persembahan luar biasa yang ditonjolkan.
“Suara yang memukau dan gaya persembahan yang berani memberikan kelebihan kepada Baby malam ini,” ujar Peter.
Namun beliau turut menasihati agar Baby meningkatkan lagi teknik dan persembahan menjelang peringkat negeri nanti. Pandangan tersebut turut disokong oleh Pengerusi Penganjur, Charles Dalinsing, yang memuji mutu pertandingan tahun ini yang disifatkan sebagai sangat kompetitif.
Sementara itu, dalam kategori awam, Herman Milah menjadi pemenang tiket bertuah utama dengan membawa pulang hadiah utama berupa wang tunai sebanyak RM2,000, menjadikan malam itu lebih bermakna bagi para pengunjung dan peserta.
Pertandingan Sugandoi Kaamatan terus menjadi platform penting dalam mengetengahkan bakat tempatan serta memelihara budaya warisan Sabah yang kaya dan unik.
Comments