top of page
  • Wartawan Nabalu News

Backyard Kokol milik usahawan muda tonjol keunikan tersendiri

Ewon (tengah) mendengar penerangan ringkas mengenai Backyard Kokol daripada Denny.

24 Julai 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


MENGGATAL: Kejayaan usahawan muda Denny Julius Teo mentransformasikan Backyard Kokol, sebuah homestay atau inap desa mesra alam, sebagai antara pusat peranginan baharu berasaskan eko-pelancongan di pinggiran bandaraya Kota Kinabalu menarik perhatian Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick.


Kagum dengan kesungguhan usahawan muda dari Tuaran itu, Ewon meluangkan masa turun padang mengunjungi dan meninjau sendiri kawasan homestay itu.


Kunjungan Ewon yang juga Ahli Parlimen Penampang dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian ke Backyard Kokol bermatlamat untuk menjiwai kejayaan, pencapaian dan pengorbanan usahawan muda itu selain memberikan khidmat nasihat mengenai bantuan pembiayaan bersesuaian daripada kerajaan khususnya kementeriannya.

“Saya bangga dengan kejayaan Denny dan berharap ia akan memberi inspirasi kepada lebih ramai rakyat Sabah khususnya golongan muda menceburi bidang keusahawanan dalam pelbagai bidang.


“Saya meluangkan masa untuk datang sendiri meninjau perusahan Backyard Kokol dan saya mendapati perusahaan inap desa mesra alam sangat positif kerana ia memenuhi elemen yang boleh menyumbang kepada penjagaan alam sekitar.


“Backyard Kokol menggunakan sepenuhnya tenaga solar dan air graviti, keadaan persekitaran kampung yang sungguh indah dan pemandangan yang luar biasa,” katanya selepas lawatan di Backyard Kokol, kelmarin.


Ewon berkata, antara agensi di bawah kementeriannya yang menyediakan pembiayaan kepada usahawan Inap Desa ialah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Tekun Nasional, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), SME Corp dan Bank Rakyat.

Sehubungan itu beliau mencadangkan supaya pengusaha Backyard Kokol dapat menubuhkan sebuah koperasi keluarga bagi memudahkan mereka mendapatkan kemudahan bersesuaian daripada SKM.


Katanya, setakat ini sebanyak 15,315 koperasi berdaftar dengan SKM di seluruh negara dan daripada jumlah itu 1,707 koperasi adalah di Sabah.


“Ini menjadikan Sabah negeri kedua tertinggi yang mempunyai bilangan koperasi selepas Selangor.


“Bagi menggalakkan dan memudahkan masyaakat menubuhkan koperasi, SKM telah mempermudahkan syarat-syarat penubuhan koperasi antaranya bilangan individu bagi mendafarkan sesuatu koperasi asas dikurangkan daripada 50 orang kepada 20 orang.

“Kementerian melalui SKM juga telah menambahbaik Garis Panduan Berkenaan Dengan Pendaftaran Koperasi (GP12) bagi memberi panduan serta tatacara kepada orang awam untuk mendaftarkan sesuatu koperasi,” katanya.


Beliau berkata, dengan adanya koperasi akan memudahkan mereka mendapatkan pelbagai kemudahan yang disediakan oleh kerajaan melalui kementeriannya yang disalurkan oleh SKM.


“Contohnya, kalau selama ini mereka mengusahakan perniagaan restoran dan perlu mengembangkan perniagaan, mereka boleh mendapatkan pembiayaan melalui Tabung Modal Pusingan SKM dengan kadar faedah yang rendah,” katanya.


Ewon juga berharap sambutan Hari Koperasi Negara (HKN) 2023 yang diadakan secara besar-besaran dan julung kalinya diadakan di Sabah beberapa hari lalu dapat meningkatkan kesedaran kepada rakyat Sabah untuk menubuhkan koperasi.


“Bulan Julai adalah Bulan Koperasi Kebangsaan (BKK) dan sepanjang bulan ini pelbagai acara diadakan di seluruh negara antara promosi gerakan koperasi, program kesedaran dan pengiktirafan kepada warga koperasi di seluruh negara.

“Selain itu, kita juga dapat memperkasakan kerjasama sesama koperasi di seluruh negara, seterusnya memberi peluang kepada mereka menjual atau mempromosikan produk dan perkhidmatan masing-masing.


“Saya amat yakin selepas ini jumlah koperasi di negara kita khususnya di Sabah akan bertambah,” katanya.


Mengenai cabaran pengusaha Backyard Kokol, Ewon yang juga Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) berkata, antara aduan yang disampaikan oleh usahawan muda itu ialah keadaan jalan raya menuju ke pusat penginapan itu yang memerlukan perhatian pihak berwajib.


“Keadaan jalan raya menuju ke pusat penginapan ini memerlukan penyelenggaraan atau penaiktarafan. Saya berharap rakan-rakan pimpinan di kawasan ini dapat melihat keperluan untuk menyediakan jalan raya konkrit atau sekurang-kurangnya penyelenggaraan untuk keselesaan para pelancong ke tempat ini," katanya.


Sementara itu Pengurus dan juga pengasas bersama Backyard Kolol, Denny, berkata keadaan kawasan itu yang berbukit dan curam antara cabaran utama membina kemudahan di kawasan itu.


“Pusat penginapan ini siap sepenuhnya dalam tempoh satu tahun iaitu pada tahun lalu dan sejak dibuka kepada umum, ramai pelancong terutamanya dari luar negara berkunjung ke sini.


“Pengunjung yang datang kebanyakan dari Semenanjung dan luar negara seperti China, Korea dan Iran, selain orang Sabah sendiri,” katanya.


Denny, 28, berkata sebelum mengurus homestay Backyard, beliau mengusahakan restoran berkonsepkan makanan tradisional masyarakat Kadazandusun di Tuaran.

Comments


bottom of page