• nabalunews

BADAN PEGUAM SAMBUT BAIK LANGKAH BIJAKSANA AGONG TIDAK ISYTIHAR DARURAT


26 OKTOBER 2020


KUALA LUMPUR: Badan Peguam Malaysia hari ini mengalu-alukan dan menyambut baik langkah bijaksana Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk melindungi kepentingan rakyat dengan tidak mengisytiharkan darurat di bawah Perkara 150 (1) Perlembagaan Persekutuan.

Presidennya Salim Bashir berkata Badan Peguam sependapat dengan pandangan Al-Sultan Abdullah dan Raja-Raja Melayu bahawa sudah ada undang-undang dan mekanisme semasa yang mempunyai kekuatan luas dan komprehensif untuk menguruskan pandemik COVID-19.

"Oleh itu, Badan Peguam menggesa ahli politik dan masyarakat untuk mematuhi peraturan undang-undang dan Perlembagaan serta menghormati titah Diraja," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Beliau juga berkata keamanan dan kestabilan, tanpa perlu dipersoalkan menjadi perkara paling utama, mengatasi sebarang bentuk pertelingkahan antara ahli politik daripada pelbagai parti.

Katanya, apa yang diperlukan negara ketika ini adalah fokus kepada soal kesihatan dan kebajikan rakyat.

"Sokongan mencukupi mesti diberikan kepada doktor, jururawat dan semua pihak yang terlibat dalam memerangi ‘musuh’ COVID-19 yang tidak kelihatan," katanya. - Bernama