top of page
Wartawan Nabalu News

Bahasa dan budaya etnik Sabah harus dipertahankan – Hajiji


5 Ogos 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor menyeru agar bahasa, kebudayaan dan adat etnik di negeri ini diperkasakan dan dipertahankan bagi mengelakkan identiti kaum terhakis oleh kemodenan dan teknologi.


Beliau berkata, Sabah mempunyai kepelbagaian etnik yang amat kaya, dengan 35 etnik dan 217 sub etnik yang menggunakan lebih 50 bahasa dan kira-kira 90 dialek.


"Saya mahu persatuan etnik berusaha memastikan anak-anak kita, terutama generasi muda boleh bertutur menggunakan bahasa ibunda masing-masing.


"Jika bahasa dan warisan budaya kaum tidak dipertahankan, maka akan hilang identiti kaum tersebut," katanya dalam ucapan sempena majlis Anugerah Lagu SABAHVfm. Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Joniston Bangkuai


Tambah beliau, kerajaan negeri akan melaksanakan pelbagai program untuk memartabatkan khazanah budaya pelbagai kaum dan etnik di Sabah.


Antara program yang dirancang ialah penganjuran Festival Budaya Sabah yang akan menampilkan keunikan bahasa dan budaya setiap etnik di negeri ini.


"Muzik dan lagu sama ada Kadazan, Dusun, Bajau dan Murut membentuk dan mewujudkan identiti budaya kita yang unik melalui penggunaan bunyi instrumen dan irama yang unik serta menarik," katanya.


Beliau turut mengalu-alukan inisiatif Radio Televisyen Malaysia (RTM) mengadakan Anugerah Lagu SABAHVfm sebagai satu platform untuk menggalakkan bakat-bakat tempatan dalam bidang seni suara.


Comments


bottom of page