Baikpulih Balairaya Kg. Kebidahan Kadamaian siap sepenuhnya, permintaan keperluan rakyat di Kadamaian tidak pernah dihampakan
13 November 2024
KOTA BELUD: Kerja baikpulih Balai Raya Kampung Kebidahan di Mukim Lasau, Kadamaian, Kota Belud kini telah siap sepenuhnya.
Pemaju Masyarakat N11 Kadamaian, Clarence Somuil memaklumkan perkara ini selepas melakukan lawatan kerja di lapangan bersama Ketua Cawangan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Kampung Kebidahan, Mijoh Kambiris, hari ini pada Rabu.
Mijoh turut memaklumkan bahawa peruntukan untuk baik pulih balai raya ini diperoleh melalui inisiatif Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick.
“Sebagai Ketua Cawangan UPKO Kampung Kebidahan, saya sangat bersyukur atas usaha-usaha pembangunan yang dibawa oleh Datuk Ewon ke Mukim Lasau.
"Saya juga berbangga dengan dedikasi Datuk Ewon, yang juga Presiden UPKO Malaysia dan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, dalam memperjuangkan pembangunan bukan sahaja di Kadamaian tetapi juga di Penampang, Wilayah Sabah, dan Malaysia amnya,” ujarnya.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Kebidahan, Junny Simpol, ketika dihubungi media, turut menyampaikan ucapan terima kasih bagi pihak komuniti Kampung Kebidahan kepada Datuk Ewon atas komitmen berterusan beliau dalam memperkasakan pembangunan infrastruktur di kampung tersebut.
“Memang sebelum ini keadaan balai raya Kampung Kebidahan agak usang dan memerlukan pembaikan segera. Syukur, Datuk Ewon tidak pernah menghampakan keperluan rakyat di Kadamaian,” katanya.
Kommentare