Bajet 2022: Kerajaan sedia RM230 juta bantu usahawan wanita terjejas CovidBajet 2022: Kerajaan sedia RM230 juta bantu usahawan wanita terjejas Covid
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Bajet 2022: Kerajaan sedia RM230 juta bantu usahawan wanita terjejas Covid


Gambar Hiasan

29 Oktober 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Kerajaan akan menyediakan sejumlah RM230 juta dana pembiayaan untuk membantu usahawan wanita yang terkesan akibat Covid-19 bagi meningkatkan kapasiti perniagaan mereka.


Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tungku Abdul Aziz berkata, dana pembiayaan itu antaranya melalui Program DANANITA di bawah MARA dan TEKUNITA di bawah TEKUN.


“Kerajaan juga akan melaksanakan Program MyKasih Kapital untuk menggalakkan wanita menjana pendapatan dari rumah.


“Insentif dalam bentuk bantuan asas modal perniagaan akan diberikan di samping program bimbingan bagi menggalakkan perniagaan secara dalam talian. Sebanyak 5,000 peserta termasuk 2,000 ibu tunggal akan meraih manfaat daripada program ini,” katanya ketika membentangkan Bajet 2022 di Dewan Rakyat hari ini.


Tengku Zafrul berkata, bagi menambah baik sistem sokongan sedia ada untuk kaum ibu berkerjaya, RM30 juta disediakan untuk menyediakan kemudahan taska di bangunan-bangunan Kerajaan, terutamanya di hospital dan universiti awam.


“Kerajaan juga menggalakkan majikan sektor swasta untuk pengaturan kerja fleksibel serta menyediakan kemudahan taska di pejabat. Selain insentif cukai, Kerajaan turut akan meminda garis panduan bagi membenarkan taska beroperasi di aras melebihi tingkat 1 pejabat,” katanya.


Katanya lagi, sebagai mengiktiraf wanita berkerjaya yang menguruskan anak-anak mereka ketika waktu bekerja, Kerajaan bercadang melanjutkan pelepasan cukai pendapatan individu sehingga RM3,000 bagi bayaran yuran taska dan tadika sehingga tahun taksiran 2023.


Tambahnya, kerajaan bersedia memperuntukkan RM13 juta khas untuk memperkasa Bahagian D11 Polis Diraja Malaysia bagi Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-kanak, termasuk pewujudan 100 perjawatan baharu.


“Selanjutnya, berhubung segmen kesihatan wanita, sejumlah lebih RM11 juta disediakan sebagai subsidi ujian mammogram kepada wanita berisiko tinggi dan melaksanakan ujian saringan kanser serviks kepada wanita,” katanya.

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page