Bajet 2022: Peruntukan KKM perlu ada perincian – MadiusBajet 2022: Peruntukan KKM perlu ada perincian – Madius
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Bajet 2022: Peruntukan KKM perlu ada perincian – Madius


12 Nov 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata perlu ada perincian dalam peruntukan Belanjawan 2022 sebanyak RM32.4 kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), khususnya bagi negeri Sabah dan Sarawak.


Katanya, peruntukan yang besar itu terlalu am dan tiada perincian mengenai di mana peruntukan itu akan dibelanjakan dari segi pembangunan.


“Contohnya peruntukan yang diagih kepada bandar dan luar bandar, katakan dari segi klinik, tetapi tidak dinyatakan di mana klinik dan negeri itu.


“Harus dilihat bahawa memang ada jurang dari segi prasarana dan kemudahan-kemudahan kesihatan di Sabah dan Sarawak. Oleh kerana negeri ini begitu luas, cabaran untuk membina dan menaiktaraf kemudahan-kemudahan asas seperti klinik-klinik kerajaan sangat mencabar.


“Oleh itu, kita ingin melihat di mana dan bagaimana peruntukan ini diagihkan, tetapi saya tidak nampak dalam bajet ini,” katanya dalam satu webinar yang bertajuk Belanjawan Malaysia 2022: Kesihatan Awam, Desentralisasi dan COVID.


Madius berkata demikian sebagai salah seorang ahli panelis bagi sesi webinar yang diadakan semalam oleh Wisdom Foundation.


Menurutnya lagi, Belanjawan 2022 merupakan satu peluang bagi Kerajaan untuk menerapkan sistem desentralisasi kerana tahun 2022 merupakan fasa pemulihan ekonomi dan kesihatan bagi negara Malaysia.


“Bagaimana Kerajaan Persekutuan melihat peranan unit-unit kerajaan, seperti kerajaan negeri dan peringkat lebih rendah seperti kerajaan tempatan dan majlis daerah? Kita tidak nampak bagaimana kerajaan-kerajaan negeri dapat memainkan peranan.


“Kerajaan-kerajaan negeri di Malaysia ini mempunyai kemampuan yang berlainan, ada di negeri tertentu yang mempunyai peruntukan atau bajet yang lebih berbanding yang lain.


“Walau bagaimanapun, oleh kerana hal kesihatan dan perubatan masih dalam bidang kuasa Kerajaan Persekutuan (bagi negeri Sabah), maka kerajaan negeri tidak boleh masuk campur,” jelasnya.


Mengulas lebih lanjut, Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) itu berkata beliau tidak nampak peluang desentralisasi dalam Belanjawan 2022 dan bagaimana kerajaan boleh mengambil peranan komuniti untuk terus serta dlm hal-hal kesihatan.


Ujarnya, kesedaran mengenai hal berkaitan kesihatan adalah amat penting namun ia agak mencabar kerana wujudnya golongan-golongan minoriti seperti anti-vaksin.


“Peranan komuniti untuk memberi penjelasan sangan penting, namun saya tidak nampak bagaimana ia boleh dilakukan dalam Belanjawan 2022.


“Contohnya, pemimpin-pemimpin masyarakat punya peranan yang penting untuk memberi penjelasan tentang perkara-perkara kesihatan agar rakyat tidak setakat mendengar khabar angin atau benda yang ditularkan sahaja,” katanya, sambil mengambil contoh isu penggunaan Ivermectin.


Madius berkata, walaupun penyelidikan dan kesan sampingan pengambilan Ivermectin telah dibincangkan di Parlimen, maklumat itu tidak dijamin dapat disalurkan ke akar umbi.


Tambahnya, jika maklumat seperti ini dapat disalurkan oleh pemimpin-pemimpin masyarakat dan struktur ini dapat dipertahankan, sudah pasti perkara seperti penerapan langkah pencegahan sesuatu jangkitan penyakitakan lebih berkesan.

Tags:

bottom of page