Bandau Progresif: UPKO Kukuhkan Kepimpinan Wanita di DUN Bandau
- nabalunews
- 1 hour ago
- 2 min read

16 Jun 2025
KOTA MARUDU: Mesyuarat Pembentukan Jawatankuasa Wanita dan Jentera Pilihan Raya Wanita bagi Jawatankuasa Hubungan Antara Kaum (CLC) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandau, Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), telah berlangsung dengan lancar dan jayanya pada 15 Jun 2025.
Mesyuarat penting ini bertujuan memperkukuhkan struktur kepimpinan wanita di peringkat akar umbi sekaligus mempersiapkan jentera parti dalam menghadapi cabaran pilihan raya yang mendatang. Kehadiran barisan kepimpinan wanita serta ahli jawatankuasa bahagian dan pusat daerah mengundi menunjukkan komitmen tinggi dalam memperkasakan peranan wanita dalam struktur organisasi parti.
Ketua CLC UPKO Bandau, Suzie Salapan, dalam ucapannya merakamkan penghargaan dan terima kasih atas kehadiran serta dedikasi semua pihak yang terlibat. Beliau menyifatkan mesyuarat ini sebagai langkah strategik dalam memantapkan kedudukan UPKO di DUN Bandau.

Mesyuarat turut menyaksikan pelantikan rasmi Noumie Onggitom sebagai Ketua Wanita UPKO CLC Bandau, manakala Rahimah Abdul Rahman dipilih sebagai Timbalan Ketua. Turut diumumkan ialah senarai penuh jawatankuasa wanita dan jentera pilihan raya bagi kawasan tersebut.
“Syabas dan tahniah kepada semua yang telah diberi kepercayaan untuk memimpin. Ini adalah amanah yang besar dan saya yakin dengan kerja berpasukan, kita mampu memantapkan lagi peranan UPKO di kawasan ini,” kata Suzie.
Majlis turut dihadiri oleh Ketua Wanita UPKO Bahagian Kota Marudu, Norisah Mongintal, serta Naib Ketua Bahagian, Reggy Walter Ugang. Kehadiran mereka bersama beberapa Ahli Jawatankuasa Bahagian dan Ketua-Ketua Pusat Daerah Mengundi mencerminkan solidariti dan kerjasama erat dalam memperkukuhkan parti di peringkat lokaliti.

Pelantikan ini melambangkan komitmen berterusan UPKO dalam memastikan wanita terus memainkan peranan signifikan dalam arus perdana politik tanah air, selaras dengan aspirasi parti untuk memperjuangkan hak kesaksamaan dan penyertaan inklusif dalam sistem demokrasi.
Dengan slogan "Bandau Progresif", UPKO berhasrat menjadikan kawasan DUN Bandau sebagai model kepimpinan wanita yang efektif dan berwibawa dalam memperjuangkan kepentingan rakyat secara menyeluruh.
Comments