Bangunan kedai lama musnah
- nabalunews
- 14 hours ago
- 1 min read

10 Jun 2025
PAPAR: Tiga blok bangunan kedai lama yang menggunakan struktur kayu di pekan Bongawan, di sini, musnah dalam kebakaran awal pagi tadi.
Kejadian kira-kira jam 5.30 pagi itu turut menyebabkan beberapa kenderaan sekitar bangunan yang dipercayai dibina sebelum Perang Dunia Kedua musnah.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kimanis, Nelson Ponji berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan pada 5.38 pagi.

Katanya, sepasukan anggota dan pegawai bersama jentera terus dikerah ke lokasi kejadian untuk memadamkan api kebakaran.
"Setibanya di lokasi kejadian, pasukan operasi mendapati api sedang marak memusnahkan dua blok bangunan rumah kedai dua tingkat jenis tidak kekal.
"Operasi pemadaman segera dilaksanakan dan api berjaya dikawal pada jam 7.30 pagi," katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, kebakaran membabitkan tiga blok bangunan kedai dua tingkat jenis tidak kekal terbakar sepenuhnya.
"Bangunan pertama membabitkan lapan pintu kedai dan bangunan kedua membabitkan empat pintu kedai manakala bangunan ketiga membabitkan empat pintu kedai.
"Tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan dan setakat ini, punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan.
Comments