BANGUNAN KERAJAAN SEBAGAI PUSAT PENGAMBILAN UJIAN COVID DALAM KEADAAN DARURAT - KSNBANGUNAN KERAJAAN SEBAGAI PUSAT PENGAMBILAN UJIAN COVID DALAM KEADAAN DARURAT - KSN
top of page
  • nabalunews

BANGUNAN KERAJAAN SEBAGAI PUSAT PENGAMBILAN UJIAN COVID DALAM KEADAAN DARURAT - KSN


26 JAN 2021


KUALA LUMPUR: Penggunaan bangunan dan kemudahan kerajaan yang bersesuaian sebagai pusat pengambilan ujian calitan serta penjajaran sementara kakitangan awam ke perkhidmatan sokongan kesihatan dan keselamatan adalah antara langkah-langkah yang akan diambil pihak berkuasa dalam pelaksanaan dan pengurusan darurat. Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata perkara itu merupakan antara cadangan yang dibincangkan Jawatankuasa Teknikal Pengurusan Darurat dan telah dipersetujui Sidang Darurat Majlis Keselamatan Negara. Cadangan-cadangan itu terkandung dalam tumpuan kepada mobilisasi sumber Perkhidmatan Awam Persekutuan dan Negeri. Jawatankuasa itu ditubuhkan bagi memastikan pelaksanaan Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu 2021) berjalan dengan baik.

Dalam satu kenyataan media hari ini, Mohd Zuki berkata sehingga kini jawatankuasa itu, yang telah bersidang sebanyak empat kali, turut memberi tumpuan kepada soal integrasi keupayaan Perkhidmatan Hospital Sektor Awam dan Swasta dalam tempoh darurat bagi memastikan koordinasi yang sistematik agar jaminan akses kesihatan yang menyeluruh dan bersepadu dapat dilaksanakan bagi pesakit COVID-19 dan bukan COVID-19. Integrasi itu juga bertujuan mengoptimumkan sumber kesihatan dan kepakaran yang ada bagi tujuan perawatan pesakit sewaktu pandemik COVID-19, katanya. "Pengoperasian hospital awam termasuk hospital universiti, Hospital Angkatan Tentera dan hospital swasta akan diletakkan secara hibrid berdasarkan konsep hospital kluster di bawah Pusat Kawalan COVID-19 Bersepadu," katanya.

Mohd Zuki berkata kapasiti makmal sedia ada terutamanya di jabatan-Jabatan kerajaan dan universiti awam akan dioptimumkan bagi pengesanan COVID-19 berskala besar, manakala mekanisme pembiayaan pesakit COVID-19 oleh pihak insurans di hospital swasta sedang diperhalusi oleh Kementerian Kewangan, Kementerian Kesihatan, Bank Negara Malaysia dan industri insurans. Buat masa ini, peranan sektor swasta diperkasakan bagi merawat pesakit COVID-19 yang mampu membiaya sendiri kos perubatan dan rawatan, katanya. Satu lagi fokus utama yang dibincangkan jawatankuasa ialah penggunaan kem Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN), Kem Bina Negara dan kemudahan lain yang bersesuaian untuk dijadikan sebagai kemudahan tahanan sementara serta Depoh Tahanan Sementara adalah bagi kegunaan Jabatan Penjara Malaysia, Jabatan Imigresen dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) secara sewaan bertujuan menjamin penjarakan fizikal.

Sebanyak 16 kem PLKN seluruh negara sudah dikenal pasti bagi tujuan ini. Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) pula katanya akan bertindak untuk mengumpul sebarang pandangan atau maklum balas rakyat bagi memberi gambaran sebenar kepada kerajaan mengenai situasi darurat semasa. "KKMM juga akan bertindak secara strategik dengan mewujudkan saluran khas untuk memastikan segala maklumat berkaitan dengan pelaksanaan pengurusan darurat disampaikan kepada rakyat secara holistik dan tepat," katanya. Ketua Setiausaha Negara itu berkata jawatankuasa berkenaan akan terus meneliti dan memantau perkara-perkara berbangkit daripada Proklamasi Darurat agar dapat memberi syor terbaik kepada Sidang Khas Darurat MKN untuk dipertimbangkan. Beliau juga menegaskan bahawa pentadbiran perkhidmatan awam tidak akan terjejas dan berfungsi seperti biasa dalam tempoh darurat bagi memastikan kelancaran penyampaian perkhidmatan kerajaan dengan pematuhan kepada prosedur operasi stantard (SOP) yang berkuat kuasa. Mohd Zuki turut mengingatkan seluruh rakyat Malaysia supaya sentiasa memastikan segala maklumat yang diterima dipastikan terlebih dahulu kesahihannya kerana penyebaran maklumat yang tidak sahih akan menjejaskan usaha negara dalam memerangi pandemik COVID-19. “Marilah kita terus berdoa agar pandemik COVID-19 yang sedang melanda negara dapat diatasi sepenuhnya demi menjaga kemakmuran, kestabilan ekonomi dan ketenteraman awam,” katanya. - Bernama

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page