top of page

Bangunkan potensi Kadamaian sebagai tarikan pembangunan baharu Gunung Kinabalu – Ewon

  • nabalunews
  • 7 days ago
  • 2 min read


14 April 2025


KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick mencadangkan agar Kerajaan Sabah memberi tumpuan kepada pembangunan Kadamaian sebagai satu lagi pintu masuk dan tarikan pelancongan baharu Gunung Kinabalu, selari dengan usaha memperkukuh sektor pelancongan negeri.


Beliau berkata, selama ini pembangunan pelancongan Gunung Kinabalu lebih tertumpu kepada kawasan Kundasang di Ranau, namun potensi Kadamaian di Kota Belud juga wajar diketengahkan sebagai nilai tambah kepada sektor tersebut.


Selama ini, pembangunan pelancongan Gunung Kinabalu berteraskan kepada potensi di Kundasang, Ranau (Ranau oriented). Saya sangat menghargainya dan sememangnya ia telah menyumbang banyak kepada ekonomi tempatan.


“Selama ini, pembangunan pelancongan Gunung Kinabalu berteraskan kepada potensi di Kundasang, Ranau. Saya sangat menghargainya dan ia telah menyumbang banyak kepada ekonomi tempatan.


“Namun, sudah tiba masanya Kerajaan Sabah melihat pembangunan pelancongan Gunung Kinabalu berteraskan potensi Kadamaian sebagai nilai tambah. Ini termasuklah pembukaan laluan ke Gunung Kinabalu daripada Kadamaian serta semua fasiliti yang diperlukan termasuk kemudahan infrastruktur di kawasan pelancongan komuniti di Kadamaian,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perbahasan dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, hari ini.


Ewon mencadangkan agar usaha diteruskan untuk membuka laluan pendakian Gunung Kinabalu melalui Kadamaian, selain memperbaiki kemudahan infrastruktur dan fasiliti pelancongan komuniti di kawasan tersebut.


“Kita mengetahui Low’s Peak adalah puncak tertinggi Gunung Kinabalu, tetapi ramai tidak tahu bahawa Sir Hugh Low sendiri menelusuri laluan menuju ke Gunung Kinabalu dari Kadamaian,” katanya.


Mengenai isu kesesakan jalan raya ke Kundasang setiap kali musim cuti, Ewon berkata, ia boleh diatasi dengan mewujudkan satu lagi pintu masuk pelancongan ke Gunung Kinabalu melalui Kadamaian.


“Saya percaya, sekiranya Kerajaan Sabah memberikan tumpuan lebih besar dan inisiatif tambahan kepada potensi Kadamaian, bukan sahaja sektor pelancongan dapat dibangunkan secara lebih inklusif dan meluas, tetapi juga dapat merangsang ekonomi tempatan di Kadamaian khususnya dan Kota Belud amnya,” ujarnya.


Ewon berkata, langkah itu juga selaras dengan aspirasi Kerajaan Negeri yang mahu terus membangunkan sektor pelancongan dengan menarik lebih ramai pelancong dan pemain industri ke Sabah.

Comentários


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page