Banjir Beaufort: Jumlah Penduduk Terjejas Meningkat, 11 Kampung Terlibat
- nabalunews
- 12 minutes ago
- 1 min read

10 Januari 2026
KOTA KINABALU: Situasi banjir di Daerah Beaufort terus menunjukkan peningkatan apabila seramai 364 penduduk melibatkan 136 Ketua Isi Rumah (KIR) dilaporkan terjejas dan masih ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) setakat jam 4 petang, tadi.
Menurut laporan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Daerah yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah menegaskan, setakat ini, sebanyak 11 kampung dikenal pasti masih terkesan akibat bencana banjir berkenaan.
Katanya, dua PPS masih diaktifkan untuk menempatkan penduduk yang terjejas bagi memastikan keselamatan serta kebajikan mereka terus terpelihara.

“Setakat ini, tiada kematian ataupun kecederaan dilaporkan akibat bencana berkenaan.
“Pemantauan rapi sedang dilaksanakan oleh agensi-agensi berkaitan bagi memastikan tindak balas segera dapat diberikan sekiranya keadaan bertambah buruk,” katanya.
Sehubungan itu, orang ramai, khususnya penduduk di kawasan berisiko dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada, mematuhi arahan pihak berkuasa serta bersedia untuk berpindah sekiranya diarahkan berbuat demikian.
Sebarang perkembangan terkini berkaitan situasi bencana akan terus dimaklumkan dari semasa ke semasa.














