Banjir di Kota Marudu diisytihar tamat, jumlah mangsa turun kepada 3,266 orang
- nabalunews
- 47 minutes ago
- 1 min read

22 Februari 2026
KOTA KINABALU: Bencana banjir di daerah Kota Marudu diisytiharkan tamat pada 11 pagi tadi berikutan keadaan cuaca yang bertambah baik dan paras air telah pulih sepenuhnya.
Pengisytiharan itu dibuat oleh Pegawai Daerah Kota Marudu, Meirin Sugara, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) daerah berkenaan.
Beliau berkata, berdasarkan maklumat agensi bertindak yang menjalankan tinjauan di lokasi terjejas, semua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Kota Marudu ditutup dan kediaman penduduk yang terjejas adalah selamat untuk didiami.
“Sehubungan itu, Komander Operasi Bencana diarah untuk menyelaraskan kekuatan anggota, aset dan logistik di pusat kawalan bagi melaksanakan operasi penghantaran pulang mangsa ke kediaman masing-masing.
“Dalam masa sama, semua agensi tindak balas di lapangan diminta untuk menilai keperluan pelaksanaan aktiviti pasca bencana bersepadu sekiranya diperlukan bagi memastikan keadaan benar-benar pulih dan selamat,” katanya.
Sementara itu, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah memaklumkan sebanyak 24 PPS masih beroperasi di tiga daerah terjejas iaitu 10 di Pitas, 13 di Paitan dan satu PPS di Tawau.
Jumlah mangsa di Pitas dilaporkan meningkat kepada 2,171 orang melibatkan 1,078 keluarga setakat 12 tengah hari ini berbanding 2,120 orang daripada 1,054 keluarga pada 8 pagi tadi.
Manakala situasi di Tawau tidak berubah dengan 245 mangsa membabitkan 55 keluarga, sementara di Paitan pula, jumlah mangsa menurun kepada 850 orang daripada 268 keluarga berbanding 847 orang daripada 270 keluarga pada sebelah pagi.











