• Wartawan Nabalu News

BANJIR: HAJIJI MINTA PKOB DAERAH DIAKTIFKAN



17 Jan 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Semua pegawai daerah di kawasan yang sering dilanda banjir diarah supaya mengaktifkan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Daerah sebagai persiapan membantu rakyat di kawasan itu.


Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor juga meminta agar Urusetia Bencana Negeri sentiasa memaklumkannya situasi terkini banjir di Sabah.


Mengenai bantuan mangsa banjir, beliau berkata, kerajaan telah menyalurkan bantuan berbentuk makanan bermasak kepada semua mangsa di Pusat Penempatan Sementara (PPS) dan bakul makanan bernilai RM200 bagi setiap Ketua Isi Rumah (KIR).


"Bantuan itu disalurkan menerusi Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am (JPKA) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).


"Selain itu, pihak NADMA juga akan mengagihkan wang ihsan berjumlah RM500 bagi setiap KIR. Perkara ini akan diselaraskan oleh Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Pejabat Daerah yang terlibat", katanya.


Prihatin dengan rakyat yang dilanda bencana banjir di beberapa daerah di kawasan Pantai Barat, hari ini beliau turun padang meninjau sendiri keadaan banjir dan melawat Pusat Penempatan Sementara (PPS) Banjir.


Pada sebelah pagi, Hajiji meninjau persiapan banjir di Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Tuaran di Dewan Seri Sulaman Tuaran dan melawat Kg. Kegayungan, Tuaran yang dilanda banjir.


Sementara pada sebelah petang beliau melawat PPS Banjir di Dewan Masyarakat Likas yang menempatkan 46 mangsa dari 7 keluarga.


Beliau kemudiannya meninjau keadaan banjir di Donggongon selain melawat mangsa banjir di PPS Kompleks Sukan Penampang yang menempatkan 52 mangsa banjir dari 12 keluarga.


Selain diberi taklimat keadaan banjir yang melanda kawasan Penampang oleh Ketua Polis Daerah Penampang, DSP Mohd Haris Hj Ibrahim, Hajiji turut menyampaikan bantuan berapa barang keperluan kepada mangsa-mangsa banjir di pusat itu.


Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Panglima Sr. Haji Safar Untong, Ketua Bahagian BERSATU Penampang, Senator Datuk John Ambrose, Ahli Parlimen Penampang, Datuk Darell Leiking, Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Haji Johari Saiman, Ahli Majlis Daerah Penampang, Chong Pit Fah dan pemimpin masyarakat setempat.


Hajiji akan mengadakan lawatan ke beberapa daerah lain yang terjejas akibat banjir, esok.