top of page

Banjir Kilat Dan Ribut Di Gunung Kinabalu

  • nabalunews
  • Jul 10, 2025
  • 2 min read

10 Julai 2025


RANAU: Kejadian banjir kilat yang berlaku di puncak Gunung Kinabalu awal pagi tadi menambah cabaran kepada aktiviti pendakian, apabila sebahagian besar pendaki terpaksa membatalkan hasrat untuk menawan puncak gunung berkenaan.


Salah seorang malim gunung yang ditemui, Ronny Gohun berkata, hujan lebat yang bermula sekitar jam 6 pagi dan berterusan sehingga jam 8 pagi menyebabkan laluan utama pendakian dipenuhi air.


Katanya, keadaan kembali reda kira-kira jam 11 pagi namun kebanyakan pendaki dinasihatkan untuk berpatah balik demi keselamatan masing-masing.

Sementara itu, Pegawai Pasukan Mencari dan Menyelamat Gunung (MOSAR), Feranideh Medi, ketika dihubungi media, mengesahkan bahawa hanya kira-kira 30 peratus daripada jumlah pendaki yang dibenarkan memulakan pendakian awal pagi berjaya tiba di puncak.


Katanya, pendakian lazimnya bermula seawal jam 2.30 pagi, dengan checkpoint Sayat-Sayat menjadi penanda aras utama yang perlu dilepasi sebelum jam 5.30 pagi.


“Pendaki pula disyaratkan tiba di puncak sebelum jam 7.30 pagi.


“Pada awal pagi, cuaca berada dalam keadaan baik dan sesuai untuk pendakian. Oleh itu, laluan di Sayat-Sayat dibuka seperti biasa.

“Namun, perubahan cuaca yang berlaku secara mendadak dengan hujan lebat dan angin kencang menyebabkan keadaan menjadi tidak selamat,” katanya.


Fenomena cuaca yang tidak menentu ini kini menjadi cabaran besar dalam aktiviti pendakian dan pihak berkuasa memberi amaran kepada semua pendaki supaya lebih berhati-hati, khususnya dalam musim peralihan cuaca.


Taman-Taman Sabah serta pihak MOSAR turut menasihatkan agar pendaki sentiasa peka terhadap perubahan cuaca dan mendapatkan maklumat terkini sebelum meneruskan perjalanan.


Walaupun insiden hari ini menyebabkan ramai pendaki tidak dapat mencapai matlamat mereka, tiada laporan kemalangan atau kecederaan diterima setakat ini.


Pihak berkuasa turut memuji kerjasama semua pendaki dan malim gunung yang mematuhi prosedur keselamatan serta arahan semasa kejadian.


Gunung Kinabalu kekal sebagai destinasi pendakian ikonik negara, namun cabaran cuaca memerlukan pengurusan risiko yang teliti bagi memastikan keselamatan semua pihak sentiasa terjamin.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page