Banjir kilat di Penampang dan Kota Kinabalu
29 November 2024
PENAMPANG: Hujan lebat berterusan sejak jam 12 tengah hari tadi menyebabkan beberapa kawasan di Pantai Barat Sabah termasuk di sekitar Penampang dan Kota Kinabalu serta Putatan dan Papar dilanda banjir kilat.
Antara kawasan yang terjejas termasuklah sekitar Bundusan seperti kawasan perumahan Beverly Hills, Pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Penampang, Lido, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Yue Min Penampang serta beberapa kawasan perniagaan berhampiran.
Banjir kilat dilapor menenggelamkan sebilangan kenderaan di kawasan yang terjejas.
Setakat jam 5.30 petang, keadaan hujan belum reda dan penduduk serta pengguna jalan di kawasan berhampiran dinasihat lebih peka dan berhati-hati selain mengambil langkah persediaan berpindah ke kawasan selamat sekiranya perlu.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) pada jam 4 petang mengeluarkan amaran ribut petir dan hujan lebat di negeri ini meliputi kawasan pedalaman termasuk Sipitang, Tenom, Kuala Penyu, Beaufort, Keningau dan Tambunan.
Turut terlibat kawasan Pantai Barat iaitu Papar, Putatan, Penampang, Kota Kinabalu, Tuaran dan Kota Belud serta Sandakan, Tongod, Kinabatangan, Tawau dan Kudat sehingga 8 malam ini.
MetMalaysia memaklumkan amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm per jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, pemantauan sedang dilakukan oleh pasukan bomba di beberapa kawasan berisiko banjir seperti di Penampang dan Putatan.
Antara kawasan yang dipantau kerana dinaiki air ialah Jalan Penampang Proper, Jalan Limbanak Penampang dan Jalan Putatan-Cyber City," kata JBPM Sabah dalam kenyataan pada Jumaat.
Bagaimanapun, kenyataan itu berkata, keadaan semasa bagi paras air sungai di kawasan Putatan dan Penampang ketika ini normal.
"Keadaan masih terkawal dan jalanraya masih boleh dilalui kenderaan," kata kenyataan itu.
Comments