Banjir Sabah: 2,288 mangsa di enam daerah, Beaufort paling terjejas

26 Februari 2026
KOTA KINABALU: Jumlah mangsa terjejas banjir di enam daerah di Sabah meningkat kepada 2,288 orang setakat 8 pagi ini, berbanding 1,564 orang yang direkodkan malam tadi.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah memaklumkan kesemua mangsa daripada 935 keluarga itu kini ditempatkan di 10 pusat pemindahan sementara (PPS) dan Pusat Pemindahan Kekal (PPK) yang diaktifkan.
Daerah Beaufort mencatatkan jumlah mangsa tertinggi dengan 945 orang daripada 291 keluarga yang kini ditempatkan di PPK Selagon dan PPS Dewan DUN Banir.
Di Sipitang, jumlah mangsa meningkat kepada 421 orang melibatkan 176 keluarga, dengan kesemua mangsa ditempatkan di tiga PPS iaitu Dewan SMK Padang Berempah, SK Padang Berempah dan Dewan Mini Mesapol.
Sementara itu, Membakut mencatatkan 315 mangsa daripada 125 keluarga dengan dua PPS dibuka di Dewan Kesenian Islam Membakut dan SMK St. Patrick.
Pitas kekal dengan 528 mangsa daripada 318 keluarga yang berlindung di PPS Dewan Terbuka Kanibongan dan Dewan Sinukab Kanibongan, manakala di Sook sebanyak 79 mangsa daripada 25 keluarga di PPS Dewan SLDB Dalit Gana.
Bagi Tenom yang menjadi daerah terbaru dilanda banjir petang semalam, jumlah mangsa di PPS pagi ini masih belum direkodkan berikutan proses pendaftaran sedang berjalan.















Comments