Bank Rakyat catat keuntungan RM1.70 bilion
10 Jun 2023
Oleh Wartawan Nabalu News
KUALA LUMPUR: Bank Rakyat terus konsisten mencatatkan prestasi kewangan memberangsangkan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 dengan keuntungan sebelum cukai dan zakat sebanyak RM1.70 bilion berbanding RM1.63 bilion pada 2021.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, kejayaan itu hasil sokongan padu semua anggota dan kerjasama antara pucuk pimpinan serta seluruh warga Bank Rakyat.
“Meskipun berdepan persekitaran pasca pandemik, di samping mengekalkan pembayaran dividen dua digit untuk tempoh lebih 30 tahun, Bank Rakyat terus mengekalkan prestasi kewangan yang memberangsangkan.
“Kejayaan ini tidak mungkin dapat dikecapi tanpa sokongan padu daripada anggota yang merupakan akar umbi dan teras penting bagi institusi ini dengan semangat kerjasama dan perpaduan antara pucuk pimpinan serta seluruh warga kerja Bank Rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Bank Rakyat 2023, di Dewan Tun Abdul Razak Menara Bank Rakyat, di sini, hari ini.
Mengenai penawaran semula Pembiayaan Peribadi-i DivA dan Akaun Pelaburan-i Rizq Plus, Ewon berkata, ia adalah penghargaan dan nilai tambah baharu khusus untuk anggota.
“Inisiatif ini bagi memastikan anggota Bank Rakyat dapat menikmati pelbagai manfaat dan perkhidmatan yang disediakan khusus untuk anggota, selain manfaat pembayaran dividen serta kadar keuntungan yang lebih rendah.
“Keprihatinan Bank Rakyat ini selari dengan nilai Malaysia Madani yang mengutamakan kesejahteraan dan kemakmuran masyarakat Malaysia secara menyeluruh, sekali gus menunjukkan komitmen dan ihsan dalam memastikan kebajikan dan kemakmuran ekonomi anggotanya terus dipelihara,” katanya.
Dari segi pencapaian, Ewon berkata, berdasarkan laporan terbaharu perunding penilaian jenama terkemuka, Brand Finance baru-baru ini, Bank Rakyat menerima pengiktirafan sebagai jenama paling pesat berkembang di Malaysia.
“Menurut laporan itu, Bank Rakyat mendahului jenama perbankan dengan mencatatkan peningkatan dua digit dalam nilai jenama sebanyak 49 peratus.
“Di samping itu, Bank Rakyat juga disenaraikan sebagai Top 300 Cooperatives dalam industri utama perkhidmatan kewangan berdasarkan laporan World Cooperative Monitor 2020 yang dikeluarkan oleh International Cooperative Alliance (ICA),” katanya.
Bagi pencapaian di peringkat domestik, Bank Rakyat disenaraikan dalam kelompok Koperasi Premier Malaysia 2022 oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).
“Pengiktirafan ini dianugerahkan berdasarkan kedudukan Bank Rakyat sebagai antara empat koperasi terbaik ‘Profil 100 Koperasi Terbaik Malaysia’,” katanya.
Mengenai penglibatan dalam aktiviti kesukarelaan, Ewon berkata, Bank Rakyat giat merangka dan menjalankan pelbagai inisiatif jangkauan komuniti sebagai tanda keprihatinan terhadap kesejahteraan masyarakat dan alam sekitar.
“Ini termasuk aktiviti kesukarelawanan berlandaskan agenda Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 2030 di seluruh negara dengan kerjasama pelbagai agensi kementerian.
“Meskipun sumbangan yang disalurkan kadangkala dilihat kecil nilainya, namun impaknya amat besar kepada penerima,” katanya.
Turut hadir, Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Saraswathy Kandasami, Pemangku Pengerusi Bank Rakyat Datuk Mohd Irwan Mohd Mubarak, Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat Dr. Mohammad Hanis Osman dan Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Usahawan) Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Haji Zamri Salleh.
Hadir sama barisan Ahli Lembaga Pengarah Bank Rakyat, Pengerusi Jawatankuasa Syariah dan Ahli Jawatankuasa Syariah Profesor Dr. Azman Mohd Noor, Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Bank Rakyat Datuk Philip Lasimbang, Naib Pengerusi Eksekutif (Operasi dan Kawal Selia) SKM, Siti Azlin Ahmad Dauta dan ketua-ketua agensi di bawah Kuskop.
Mesyuarat Agung Tahunan Bank Rakyat 2023 itu disertai lebih 900 perwakilan daripada 15 wilayah.
Comments