Sambutan ulang tahun kelahiran rasmi TYT Sabah dibuat secara berhemah
- nabalunews
- 2 hours ago
- 1 min read

20 Mac 2026
KOTA KINABALU: Sambutan Ulang Tahun Kelahiran Rasmi Ke-75 Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman pada 30 Mac ini akan diadakan secara berhemah dengan pendekatan penjimatan kos tanpa menjejaskan pengisian program.
Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, langkah itu selaras dengan keadaan ekonomi semasa di samping memastikan setiap program memberi manfaat serta menyampaikan mesej kepada rakyat.
Katanya, sebanyak 12 program disusun sepanjang sambutan pada tahun ini bermula dengan Majlis Kesyukuran, Doa Selamat dan Solat Hajat di Masjid Negeri pada 27 Mac.

"Antara pengisian utama ialah Istiadat Perbarisan dan Penyampaian Hadiah Pertandingan Kawad di Padang Merdeka, disusuli Istiadat Pengurniaan Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran negeri di Istana Seri Kinabalu serta Jamuan Negeri di Dewan Bankuasi Dewan Undangan Negeri Sabah pada 30 Mac,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa Sidang Media Sempena Sambutan Ulang Tahun Kelahiran Rasmi Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah di lobi Kompleks Bersepadu Kementerian Komunikasi, di sini pada Rabu.
Nizam yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan berkata, Riadah Perpaduan bersama TYT dijadualkan berlangsung di Taman Tasik Kompleks Sukan Likas pada 11 April, disusuli acara menembak bersama TYT dan Kabinet negeri pada 12 April.
"Kita akan menampilkan sukan tradisi Sabah seperti menyumpit, membujak dan melastik bagi memeriahkan acara bersama TYT.
“Pengisian program seperti ini akan memberi peluang kepada rakyat untuk bersama TYT, sekali gus mengeratkan hubungan antara pemimpin dan masyarakat," ujarnya.
Turut diadakan, menurutnya, Pameran Dirgahayu Tuan Yang Terutama di Muzium Tamadun Islam Sabah pada 16 April dan Perasmian Karya Perdana Pilihan Tahunan Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada 17 April.















Comments