Bank Rakyat cipta kejayaan meterai MoU dengan PT MNC Kapital Indonesia
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Bank Rakyat cipta kejayaan meterai MoU dengan PT MNC Kapital Indonesia

Ewon (dua dari kanan), Teten (dua dari kiri), Hary (kiri) dan Mohd Irwan (kanan)menyaksikan pertukaran dokumen MoU antara Mohammad Hanis (tiga dari kanan) dan Yudi (tiga dari kiri).

21 Oktober 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


JAKARTA: Bank Rakyat, satu daripada agensi dibawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi Malaysia, mencipta mercu tanda kejayaan dalam arena perbankan serantau selepas berjaya memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan PT MNC Kapital Indonesia.


Majils pemeteraian MoU antara Bank Rakyat dengan PT MNC Kapital Indonesia itu disaksikan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Malaysia Datuk Ewon Benedick, di sini, hari ini.


MoU itu ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat Dato’ Dr. Mohammad Hanis Osman dan Direktur Utama PT MNC Kapital Indonesia Yudi Hamka.


Turut disaksikan oleh Menteri Koperasi dan Usaha Kecil dan Menengah Republik Indonesia Teten Masduki, Pemangku Pengerusi Bank Rakyat Datuk Mohd Irwan Mohd Mubarak dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan MNC Hary Tanoesoedibjo.

Ketika berucap pada majlis itu, Ewon berharap kerjasama itu dapat merancakkan lagi hubungan dua hala antara Malaysia dan Indonesia sekaligus mengeratkan lagi hubungan baik yang sedia terjalin.


“Kolaborasi ini secara tidak langsung mampu memberi impak positif termasuk berupaya membantu memastikan kemasukan Pekerja Migran Indonesia (PMI) secara sah ke Malaysia mengikut lunas undang-undang kedua-dua negara dan keterjaminan keselamatan dan perlindungan hak-hak PMI dari segi perkhidmatan perbankan semasa berada di Malaysia.


“Selain itu penambahan bekalan PMI khususnya dalam sektor pembinaan yang mana dijangka dapat membantu pertumbuhan ekonomi Malaysia seterusnya mengukuhkan lagi hubungan bilateral antara kedua-dua negara.

Ewon bersama Teten, selepas majlis MoU.

“Semoga majlis pada hari ini akan menjadi penanda aras baharu kepada kedua-dua negara untuk terus bekerjasama dalam memberi pelbagai manfaat kepada masyarakat dan negara serantau,” katanya.


Ewon berkata, pemeteraian MoU antara Bank Rakyat dengan PT MNC Kapital Indonesia amat signifikan dalam membantu memacu pembangunan ekonomi negara serantau menerusi penyediaan kemudahan pembiayaan patuh Syariah serta produk dan perkhidmatan perbankan yang inklusif kepada PMI iaitu warga Indonesia yang akan bekerja di Malaysia.


“Saya percaya pihak pengurusan Bank Rakyat pastinya akan menawarkan perkhidmatan perbankan terbaik serta bersesuaian dengan situasi semasa dan keperluan kewangan mereka,” katanya.


Katanya lagi, kolaborasi strategik antara dua negara itu amat bertepatan dengan agenda di peringkat ASEAN (ASEAN Madani) menerusi konsep Malaysia Madani yang digagaskan Perdana Menteri Malaysia Dato' Seri Anwar Ibrahim, khususnya dalam menjalinkan pengaturan strategick memudah cara pergerakan modal insan dan menyokong pengembangan syarikat Malaysia untuk menembusi pasaran serantau.

Ewon bersama pengurusan tertinggi Bank Rakyat bergambar bersama pengurusan tertinggi PT MNC Kapital Indonesia, di Studio Seputar iNews.

Di samping itu katanya, langkah ini juga dilihat selari dengan saranan Perdana Menteri ketika menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-43 baru-baru ini yang mana beliau menyeru agar integrasi ekonomi antara negara serantau perlu diperhebatkan lagi ke arah penghasilan pelan ekonomi yang lebih cergas, inklusif, mampan dan berdaya tahan.


“Perjanjian persefahaman strategik yang lebih hebat perlu dilaksanakan bagi mengembangkan integrasi pasaran dan memudah cara pergerakan barangan, kapital, tenaga kerja berkemahiran tinggi serta perkongsian teknologi dengan negara ASEAN yang mana saya lihat sejajar dengan kerjasama MoU yang dimeterai pada hari ini oleh Bank Rakyat dan MNC Kapital,” katanya.


Turut hadir Duta Besar Malaysia ke Indonesia Dato’ Syed Mohamad Hasrin Tengku Hussin.

bottom of page