Bank Rakyat perkasa usahawan mikro menerusi Inisiatif Jajahan Rakyat
- nabalunews
- Nov 1
- 2 min read

1 Nov 2025
TEMERLOH: Bank Rakyat agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) terus memperkukuh komitmen terhadap pembangunan usahawan mikro melalui pelaksanaan Inisiatif Jajahan Rakyat.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, melalui inisistif itu seramai 100 usahawan mikro di Temerloh menerima pelbagai bentuk sokongan keusahawanan termasuk kemudahan perniagaan digital dan insentif khemah niaga.
Katanya, program itu bertujuan membina ekosistem keusahawanan yang kondusif, holistik dan mampan, selain memperluas budaya transaksi tanpa tunai dalam kalangan penjaja dan peniaga kecil.
“Melalui inisiatif itu, para usahawan menerima khemah niaga yang dilengkapi kemudahan pembayaran digital serta akses kepada produk dan perkhidmatan perbankan seperti Akaun Semasa-i Elektronik (eCA-i), aplikasi i-MerchantRakyat dan terminal POS.

“Selain bantuan fizikal, peserta turut berpeluang menyertai pelbagai program pemerkasaan keusahawanan merangkumi seminar, latihan dan khidmat kaunseling dalam bidang pengurusan, pemasaran serta digitalisasi perniagaan, di samping mendapat akses ke platform e-dagang melalui rakan strategik Bank Rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Majlis Penyerahan Khemah Jajahan Rakyat sempena Karnival Hari Penjaja dan Peniaga Kecil Peringkat Kebangsaan (HPPK) 2025, di Lurah Semantan, di sini, hari ini.
Ewon berkata, golongan penjaja dan peniaga kecil memainkan peranan penting dalam menjana ekonomi rakyat dan negara.
“Mereka bukan sahaja menjana pendapatan untuk keluarga dan komuniti, malah turut memperkayakan identiti budaya serta pelancongan tempatan melalui produk dan perkhidmatan yang unik,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Bank Rakyat atas pelaksanaan inisiatif itu selaras dengan agenda KUSKOP untuk memperkukuh daya saing usahawan mikro serta memperluas penggunaan sistem transaksi tanpa tunai.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bank Rakyat, Ahmad Shahril Mohd Shariff, berkata program Jajahan Rakyat telah dilaksanakan di beberapa lokasi strategik di seluruh negara termasuk Bazar Karat Johor Bahru, Pahlawan Walk Melaka, Laman Warisan Arau (Perlis), Pasar Sera Kuantan, Pekan Sehari Temerloh serta Payang Walk Terengganu.
“Setiap pelaksanaan program disesuaikan dengan keperluan komuniti setempat agar manfaat ekonomi dan sosialnya dapat dirasai secara inklusif oleh semua lapisan masyarakat,” katanya.
Ahmad Shahril menambah, Bank Rakyat berharap program berkenaan dapat memacu kelestarian usahawan mikro melalui inovasi produk perbankan dan digitalisasi, sekali gus membantu mereka menembusi pasaran domestik dan antarabangsa.
Inisiatif Jajahan Rakyat merupakan antara usaha utama Bank Rakyat sebagai agensi di bawah KUSKOP untuk menyantuni golongan unserved dan underserved, sejajar dengan aspirasi Ekonomi Madani, Pelan Sektor Kewangan 2022–2026 oleh Bank Negara Malaysia serta Matlamat Pembangunan Lestari (SDG).


















Comments